Penipu sindiket scam perolehi lebih RM5 juta setahun

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Tanpa perlu bekerja keras, anggota sindiket penipuan atau scam mampu memperoleh untung mudah apabila memperoleh lebih RM5 juta sepanjang tahun lalu dengan memperdayakan seramai 658 mangsa di seluruh negeri ini.

Walaupun jumlah itu cukup banyak, namun berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, mendapati angka terbabit menurun berbanding pada 2017.

Pada dua tahun lalu, anggota sindiket sama berjaya mengaut keuntungan RM8 juta membabitkan 726 mangsa.

Ketua JSJK Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, empat kes scam yang sering berlaku di negeri ini adalah sindiket pinjaman tidak wujud, penipuan belian dalam talian, African Scam dan Macau Scam.

“Dalam kes pinjaman tidak wujud, kita dapati ada peningkatan iaitu sebanyak 297 kes sepanjang tahun lalu berbanding hanya 152 kes tahun 2017 namun kerugian menunjukkan penurunan daripada RM1.32 juta kepada RM419,008.

"Selain itu, turut meningkat adalah kes Macau Scam di mana pada tahun lalu sebanyak 135 kes dilaporkan berlaku dengan kerugian RM2.57 juta berbanding 2017 hanya 112 kes (RM2.72 juta)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Wazir memaklumkan bagi kes penipuan belian dalam talian menunjukkan penurunan yang ketara iaitu sebanyak 152 kes pada tahun lalu dengan kerugian RM1 juta berbanding 360 kes pada tahun 2017 dengan kerugian RM1.47 juta.

Begitu juga dengan kes African Scam hanya sebanyak 74 kes dengan kerugian RM1.06 juta tahun lalu berbanding 102 kes tahun 2017 dengan kerugian RM2.49 juta.

Artikel Berkaitan:

"African Scam ini merangkumi beberapa kategori iaitu termasuklah Parcel Scam, Love Scam dan belian mata wang lama.

“Kebanyakan ahli sindiket ini biasanya berada di lokasi tertentu di Malaysia dan akan menghubungi mangsa secara rawak untuk melakukan penipuan," katanya.

Mohd Wazir menjelaskan, antara modus operandi yang biasa dilakukan adalah menyamar sebagai pegawai bank atau menawarkan hadiah loteri yang tidak wujud selain menawarkan hadiah mewah dari luar negara.

Selain itu, katanya, anggota itu juga bijakmenyamar sebagai pegawai bank, polis dan pelbagai agensi penguatkuasa lain untuk memberi tekanan mangsa terutamanya orang tua.

Beliau menambah biasanya kerja-kerja penipuan itu dilakukan melalui media sosial dan panggilan telefon supaya mangsa menyerahkan wang simpanan mereka.

"Ada juga sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud dan memaksa mangsa membayar pelbagai bayaran untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.

"Sindiket scam ini akan mengambil segala peluang ada untuk membuat penipuan bagi mendapatkan wang dengan cara yang mudah sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah ribuan ringgit kepada mangsa," katanya.