X

Kindly register in order to view this article
!

Proses pemberian elaun frontliners dipermudahkan: MOF

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan sedang bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk memudahkan proses elaun khas kepada petugas barisan hadapan atau frontliners.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau telah menerima aduan bahawa terdapat kesukaran memohon elaun tersebut disebabkan masalah birokrasi atau dokumentasi.

"Kementerian Kewangan sedang bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk memudahkan proses.

"Apa-apa pun, jangan bimbang, kerajaan akan memastikan elaun akan sampai kepada petugas barisan hadapan yang layak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, elaun khas kepada petugas barisan hadapan atau frontliners sehingga 30 April, kerajaan telah membuat bayaran bulan pertama sebanyak RM62 juta daripada RM500 juta yang diperuntukkan.

[ARTIKEL BERKAITAN] - 'Kami bukan tidak bersyukur...'

Pada 9 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan rungutan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkhidmat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu berikutan prosedur tuntutan elaun penugasan koronavirus (Covid-19) sebanyak RM200 sebulan didakwa terlalu rumit.

Menurut mereka, anggota dan pegawai polis terlibat perlu mengisi tiga salinan set borang sebelum menuntut elaun tersebut.

Selain itu, mereka perlu mengisi borang melalui e-siar dan ia harus diisi secara bertaip yang perlu disertakan bersama enam jenis salinan dokumen peribadi.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Susah 'claim' elaun: Bukit Aman bincang dengan kontinjen negeri

Antara yang perlu disertakan ialah salinan akaun bank gaji, salinan slip gaji, surat arahan bertugas daripada ketua bahagian dan surat arahan bertugas yang ditandatangani oleh ketua polis daerah serta senarai nama petugas.

Berikutan proses yang rumit itu, ramai anggota polis yang bertugas berkecil hati dan enggan membuat tuntutan tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus