Padah langgar kereta polis

No Image Caption
A
A
A

BAYAN BARU - Seorang lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri dengan memecut kenderaannya ketika ditahan sepasukan polis yang sedang membuat rondaan pencegahan jenayah, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 28 tersebut sedang memandu Perodua Alza berwarna perak di sini.

Menurutnya, ketika di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, polis telah menahan sebuah kenderaan yang dalam keadaan mencurigakan namun pemandunya enggan lalu memecut ke arah Bulatan Bayan Baru.

"Ketika di hadapan sebuah kilang di Jalan Kampung Jawa, Perodua Alza itu telah bergesel dengan kenderaan polis jenis Toyota Hiace sehingga mengalami kemek dan calar di sebelah kiri.

"Namun, lelaki itu berjaya ditahan dan pemeriksaan pada badan lelaki itu, tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang. Namun, polis menemui dua bungkus cecair dipercayai air ketum di alas kaki di tempat pemandu," katanya.

Tambahnya, turut dijumpai sebotol botol minuman berkarbonat yang dipercayai berisi air ketum di bawah tempat duduk penumpang bahagian hadapan.

"Lelaki yang berasal dari Alma, Bukit Mertajam itu ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan mendapati, dia tiada rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya juga negatif. Dia ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

"Dia turut disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan merbahaya. Selain itu, lelaki itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel Berkaitan: