Ibu, tolong adik!

Mohamad Aiman Mukhriz Mohamad Amirul, 2, berada di pangkuan ibunya, Emylia Safrina Zakaria, 21, ketika dia masih sihat dan dikesan bernafas singkat kelmarin sebelum meninggal dunia semalam.
Mohamad Aiman Mukhriz Mohamad Amirul, 2, berada di pangkuan ibunya, Emylia Safrina Zakaria, 21, ketika dia masih sihat dan dikesan bernafas singkat kelmarin sebelum meninggal dunia semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - "Ibu tolong adik". Itu rintihan terakhir seorang kanak-kanak berusia dua tahun kepada ibunya sebelum tidak sedarkan diri dan akhirnya 'pergi' menghadap Ilahi di Hospital Kuala Krai semalam.

Kanak-kanak berkenaan, Mohamad Aiman Mukhriz Mohamad Amirul, 2, meninggal dunia pada jam 5.20 petang akibat kanser buah pinggang yang hanya diketahui selepas kematiannya.

Ibu kanak-kanak tersebut, Emylia Safrina Zakaria, 21, yang tinggal di Paloh, Gua Musang berkata, kejadian berlaku terlalu cepat apabila anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan bernafas singkat kelmarin.

Katanya, dia menelefon Klinik Kesihatan Chiku 3, Gua Musang sebelum jururawat datang ke rumah melihat keadaan Mohamad Aiman Mukhriz lalu memintanya segera membawa kanak-kanak itu ke hospital.

“Dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) pagi semalam mendapati imej seperti ketumbuhan menyebabkannya perlu dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Ketika menaiki ambulans menuju ke HUSM, anak saya semakin tenat sehinggakan ambulans terpaksa berpatah balik ke Hospital Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya lagi, dia kemudian memangku ke riba anaknya yang mesra dengan panggil Abby itu sambil membisikkan kata-kata sayang dan reda serta menghalalkan susu yang pernah diberikan kepada anaknya itu.

“Ketika itulah Abby secara tiba-tiba membuka mata dan memandang tepat ke arah saya sebelum kemudiannya menghembuskan nafas terakhir serta pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Artikel Berkaitan:

“Suaranya meminta tolong “ibu tolong adik” kelmarin adalah kali yang terakhir saya dengar.

"Dia minta tolong sebab doktor cucuk tangannya dengan jarum untuk memasukkan ubat. Saya sudah reda walaupun begitu pantas, dia meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Jenazah Mohamad Aiman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paloh Gua Musang selepas Isyak malam tadi.