Dua ditahan, dadah bernilai RM285,000 dirampas

Mohd Zaid menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras pada Sabtu lalu.
Mohd Zaid menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras pada Sabtu lalu.
A
A
A

KAJANG - Dua individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Mahkota Cheras di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menyerbu rumah berkenaan pada jam 10.25 pagi.

“Ketika serbuan kita mendapati dua suspek yang berusia 30 dan 33 tahun itu bersembunyi di dalam rumah berkenaan.

"Kita turut menjumpai 1,804 peket plastik yang mengandungi dadah jenis heroin dan methamphetamine, alat penimbang digital dan peket plastik yang masih belum digunakan,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan mendapati dadah tersebut adalah untuk pasaran di kawasan Lembah Klang.

“Rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM285,000. Kita turut menyita wang tunai RM43,850, seutas rantai leher dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dengan kes penyalahgunaan dadah.

“Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel Berkaitan: