Prosiding berlangsung 44 hari, 30 saksi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akan berlangsung selama 44 hari bermula 11 Februari depan bakal memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali, Hamdan Hamzah berkata, daripada jumlah itu, tujuh saksi professional yang terdiri daripada enam pegawai perubatan dan seorang pengawai penyiasat kes.

"Enam saksi pegawai perubatan tersebut melibatkan doktor yang terlibat secara terus merawat si mati di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Institut Jantung Negara (IJN) dan Institut Forensik Pakar Perubatan Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, selain itu, pihaknya turut memanggil polis, bomba dan ahli keluarga Muhammad Adib sebagai saksi.

Koroner, Rofiah Mohamad memerintah pegawai pengendali menyediakan pernyataan saksi bagi tujuh saksi professional tersebut agar prosiding tersebut berjalan dengan lancar.

"Keterangan saksi-saksi ini akan banyak melibatkan kepakaran dan teknikaliti, justeru bagi memudahkan pihak-pihak, pegawai pengendali perlu menyediakan pernyataan saksi," katanya pada pengurusan kes hari ini.

Perbicaraan ditetapkan pada 11 Februari sehingga 12 April depan.

Sementara itu, inkues tersebut menetapkan 31 Januari depan untuk mendengar hujahan Ahli Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman yang diwakili peguam, Siti Kassim untuk dijadikan pihak berkepentingan dalam prosiding itu.

Artikel Berkaitan:

Rofiah menetapkan tarikh itu selepas Siti Kasim tidak hadir pada pengurusan kes semalam.

Terdahulu, peguam Cyrus Tui Foo Weoi memaklumkan ketidakhadiran Siti Kassim atas alasan menghadiri Borneo Rainforest Conference.

Dalam pada itu, Cyrus yang mewakili Majlis Peguam turut memohon menjadi peguam pemerhati atas alasan mempunyai kepentingan.

"Sebelum ini, menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung penglibatan seorang peguam yang didakwa mengupah gengster dalam insiden rusuhan kuil itu.

"Secara keseluruhan, kes ini melibatkan hak asasi dan kepentingan awam. Saya percaya Majlis Peguam mempunyai kepentingan " katanya.

Pada prosiding itu, Rofiah memutuskan peguam bagi pihak keluarga adalah pihak berkepentingan dalam inkues itu dan boleh mengemukakan soalan kepada saksi.

Selain Hamdan, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim Hamzah turut bertindak sebagai pengawai pengendali.

Keluarga Muhammad Adib diwakili oleh lima barisan peguam iaitu Muhammad Kamaruzzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Ahmad Lutfi Awang, Mohd Zubir Embong dan Mohd Tajuddin Abdul Razak manakala Syazlin Mansor mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)

Koroner itu turut membenarkan peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Mansor Saat menjadi peguam pemerhati dalam prosiding itu.

Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman tercetus pada 26 November lalu menyaksikan Muhammad Adib cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan Kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah Muhammad Adib dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Sehingga kini polis menahan lebih 30 individu bagi membantu siasatan.

Pada 27 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inkues akan diadakan bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Katanya, Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan majistret menjalankan prosiding itu mengikut Seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah.