12 jam padam kebakaran kilang

Anggota bomba menggunakan pemadam api jenis serbuk kering untuk memadamkan kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya hari ini. - Foto JBPM
Anggota bomba menggunakan pemadam api jenis serbuk kering untuk memadamkan kebakaran sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya hari ini. - Foto JBPM
A
A
A

KAMUNTING - Kebakaran yang memusnahkan sebahagian kilang di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya, Assam Kumbang di sini, berjaya dipadamkan selepas hampir 12 jam operasi dijalankan.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, kejadian pada jam 8.38 pagi itu turut melibatkan kira-kira 10 tan bahan kimia jenis serbuk 'caustic soda' yang terdapat dalam kilang tersebut.

"Maklumat yang diterima melibatkan kebakaran struktur kilang.

"Operasi awal menggunakan aliran air telah menyebabkan serbuk tersebut bertindak balas apabila terkena air dan berlakunya letupan kecil.

"Justeru, operasi pemadaman diteruskan dengan menggunakan lebih 50 tong alat pemadam api jenis serbuk kering dan membuat penyejukan dari luar bangunan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Kebakaran kilang yang turut menempatkan 10 tan serbuk 'caustic soda' musnah 50 peratus. - Foto JBPM
Kebakaran kilang yang turut menempatkan 10 tan serbuk 'caustic soda' musnah 50 peratus. - Foto JBPM

Menurutnya, anggota juga perlu memakai pakaian lengkap kerana serbuk itu memberi kesan iritasi pada kulit dan mata selain boleh menyebabkan sesak nafas.

”Pengasingan bahan dilakukan dengan menggunakan dua jentolak bagi mengekang api daripada merebak.

Artikel Berkaitan:

"Setelah api berjaya dipadamkan, bahan tersebut diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mohd Yunus berkata, kebakaran itu memusnahkan 50 peratus kilang yang telah ditutup sejak lima tahun lalu.

”Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 8.01 malam melibatkan seramai 45 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Taiping, Bagan Serai dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Perak.

Operasi itu turut membabitkan 15 kakitangan dari agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAS dan wakil kilang tersebut.