PKP punca bayaran wang kemenangan LTdL 2020 lewat

Harrif melakar sejarah tersendiri apabila memenangi dua peringkat perlumbaan LTdL 2020.
Harrif melakar sejarah tersendiri apabila memenangi dua peringkat perlumbaan LTdL 2020.
A
A
A

KELEWATAN pembayaran wang kemenangan kepada beberapa pelumba tempatan yang meraih kedudukan podium pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 adalah disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Itu antara penjelasan diberikan penganjur perlumbaan jelajah berbasikal LTdL 2020, Human Voyage (M) Sdn Bhd, merujuk kepada isu kelewatan pembayaran wang kemenangan perlumbaan yang berlangsung pada Februari lepas.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata, kelewatan berpunca arahan PKP yang memaksa penutupan bank cawangan yang digunakan mereka sehingga 31 Mei 2020.

“Semua proses yang melibatkan bank tidak dapat dilakukan dan tergendala terutama pemindahan telegraf ke luar negara memandangkan jumlah yang perlu dilakukan adalah besar.

“Proses pembayaran semua hadiah perlu dibuat kepada pihak Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melalui satu sistem khas yang disediakan oleh badan induk itu dalam tempoh 90 hari selepas tamat perlumbaan,” kata Human Voyage.

Sebagai langkah proaktif, pihak penganjur telah berhubung dengan UCI untuk memaklumkan situasi berkenaan serta mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan semua pembayaran wang kemenangan.

Bagaimanapun, pihak penganjur masih menunggu maklum balas daripada UCI bagi proses yang perlu dilakukan dalam tempoh PKP itu.

Pihak penganjur sedang berusaha untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin dan berharap agar tiada lagi penangguhan bagi semua pembayaran yang perlu dilakukan kepada pemenang.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh mendakwa, dia dan rakan sepasukan masih belum menerima sebarang wang kemenangan susulan kejayaan yang diraih pada LTdL 2020.

Human Voyage diberi hak penganjuran LTdL dari 2019 sehingga 2021 oleh Kementerian Belia dan Sukan. - Bernama