Gelombang kedua wabak Covid-19 landa Iran

Penduduk Iran melakukan ibadat sempena 10 malam terakhir Ramadan di Teheran. - Foto Agensi
Penduduk Iran melakukan ibadat sempena 10 malam terakhir Ramadan di Teheran. - Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Iran hari ini memaklumkan fasa baharu untuk menghapuskan koronavirus (Covid-19) selepas wabak itu kini terkawal di kebanyakan wilayah negara tersebut.

"Laporan menunjukkan kami telah melepasi fasa pengurusan dan kawalan. Kini, kita berada pada fasa pengekangan Covid-19," kata jurucakap pemerintah, Ali Rabiei.

Walaupun Rabiei memberikan penilaian optimis berhubung usaha keras selama tiga bulan Teheran untuk membendung virus itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan hampir 2,300 jangkitan baharu yang merupakan angka harian rasmi tertinggi sejak 5 April lalu.

Rabiei bagaimanapun mempertahankan keputusan Iran untuk membuka semula operasi perniagaan sejak beberapa minggu lalu.

"Kita boleh lihat sejumlah kematian dan memastikan kehidupan harian penduduk kembali normal dan tidak melumpuhkan ekonomi walaupun wabak ini masih ada," ujarnya.

Menurutnya, Teheran kini mempunyai 280 daerah 'putih' atau bebas Covid-19 daripada 434 daerah keseluruhan.

Setakat ini, kes jangkitan telah meningkat kepada lebih 122,500 manakala lebih 95,600 yang dimasukkan ke hospital telah sembuh dan discaj.

Jumlah itu menjadikan Iran berada di tangga ketiga jumlah pesakit pulih paling tinggi di belakang China dan Switzerland dengan kadar hampir 94 peratus.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, sebahagian besar wilayah di negara itu dilaporkan berdepan ancaman gelombang kedua selepas angka kematian mencecah 7,000 orang.

Wilayah barat daya Khuzestan didakwa menjadi titik panas baharu dengan mencatatkan paling banyak kod merah.

Pada bulan lalu, Teheran tidak lagi menerbitkan angka jangkitan Covid-19 di peringkat wilayah, namun Kementerian Kesihatan memberi amaran terdapat trend meningkat atau permulaan kemuncak di lapan wilayah termasuk Khuzestan. - AFP