Di sebalik ketenangan sidang Parlimen sehari

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. -Foto Bernama
Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. -Foto Bernama
A
A
A

SIDANG Dewan Rakyat yang berlangsung semalam berakhir dengan tenang apabila hanya mendengar Titah Diraja Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jangkaan awal bahawa Parlimen akan menjadi kecoh apabila pihak pembangkang bercadang membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjadi kenyataan.

Buat seketika ini, Muhyiddin boleh berasa lega apabila cadangan usul tidak percaya daripada pihak pembangkang itu tidak dapat dibawa kerana tidak disenaraikan dalam peraturan mesyuarat.

Sebelum ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan berikutan penularan wabak Covid-19 dalam negara masih belum reda, kerajaan memutuskan untuk meminda Majlis Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 itu dengan diadakan hanya untuk mendengar titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau memberitahu, tiada sidang selepas selesai Titah Diraja melalui mesyuarat pertama Dewan Rakyat dan ia dipinda selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Kegagalan pembangkang mengemukakan usul yang mendakwa Muhyiddin tiada sokongan majoriti dalam dewan bagaimanapun tidak bermakna kedudukan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri telah terselamat.

Muhyiddin bolehlah dianggap sebagai Perdana Menteri yang paling lemah dalam sejarah politik negara kita. Selain kerajaan yang dibentuknya bukan melalui pilihan raya, kedudukannya tercabar apabila jawatan Perdana Menterinya disokong oleh parti-parti lain yang jauh lebih kuat daripada partinya sendiri, Bersatu.

Kemungkinan Muhyiddin akan menghadapi ujian getir apabila pembangkang diramalkan berpeluang mengemukakan usul tidak percaya apabila sidang Dewan Rakyat bermula pada 13 Julai depan selama 15 hari.

Artikel Berkaitan:

Sejauh mana kesediaan dan kesetiaan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional mempertahankan Presiden Bersatu itu?

Ia akan dapat disaksikan dalam tempoh dua bulan akan datang.