Pengusaha bas pelancongan rayu perhatian kerajaan

Pengusaha bas pelancongan mengadakan perhimpunan aman petang tadi bagi merayu perhatian daripada kerajaan.
Pengusaha bas pelancongan mengadakan perhimpunan aman petang tadi bagi merayu perhatian daripada kerajaan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pengusaha bas pelancongan dan persiaran di wilayah utara di sini merayu perhatian daripada kerajaan agar membantu meringankan beban mereka yang kini hilang mata pencarian disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19).

Bukan sahaja tidak dapat beroperasi selepas sektor pelancongan di Pulau Pinang lumpuh disebabkan penularan wabak berkenaan, malah mereka berdepan masalah kewangan yang kritikal dan boleh menyebabkan syarikat gulung tikar.

Pengusaha bas pelancongan, Ahmad Roslan Abd Latif berkata, lebih 800 syarikat pelancongan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis terjejas menyebabkan mereka menghadapi kehidupan yang sukar ketika ini ditambah berdepan tekanan hebat dari syarikat kredit untuk membayar pinjaman kenderaan berikutan tiada moratorium pinjaman diberikan terhadap bas persiaran.

"Kami merayu agar kerajaan mendengar suara kami dengan menyeru institusi kewangan negara mengambil alih moratorium dari syarikat kredit untuk selamatkan kami daripada gulung tikar.

"Bukan kami tidak mahu bayar ansuran pinjaman tapi dalam keadaan sekarang kami tiada langsung sumber pendapatan, bagaimana untuk kami membayar selain menanggung perbelanjaan syarikat dan keluarga pada ketika ini," katanya ketika ditemui media selepas mengadakan perhimpunan aman di kawasan Rehat dan Rawat Juru di sini hari ini.

Ahmad Roslan turut mengharapkan agar institusi kewangan dapat memberikan moratorium kepada pengusaha bas sepertinya sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun.

Pihaknya juga memohon kerajaan agar memberikan suntikan dana kepada syarikat pelancongan di negara ini yang kini tenat dan memberi jaminan akan membantu negara dalam menjana semula ekonomi negara selepas Covid-19 pulih kelak.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha syarikat pelancongan, Jegajew Siman Salam berkata, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan ditamatkan oleh kerajaan nanti, namun industri pelancongan di negara ini mungkin tidak serancak dahulu dan perkhidmatan bas yang diusahakan mereka juga belum tentu dapat digunakan seperti sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun industri pelancongan dibenarkan beroperasi semula namun orang ramai mungkin takut untuk melancong dan aktiviti rombongan tidak dibenarkan.

"Jadi bagaimana kami untuk teruskan perniagaan dan berdepan dengan pelbagai masalah pada waktu ini," katanya.