Futsal lelaki Kedah sedia lakukan kejutan

Ahli Jawatankuasa Futsal Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), panel pemilih dan semua pemain yang berjaya mara ke fasa pemilihan akhir bergambar kenangan di D'futsal Titi Gajah, dekat sini.
A
A

KEDAH menyasarkan sekurang-kurangnya muncul empat pasukan terbaik Liga Profesional Futsal Kebangsaan lelaki bagi tahun 2019 kerana sedar dengan cabaran sengit yang ditampilkan oleh pasukan-pasukan lain musim ini.

Pengurus Futsal Lelaki Kedah, Anuar Mat Zain berkata, pasukannya tampil berbeza kerana menampilkan ramai pemain baharu dan kini dalam fasa akhir pemililihan dari 54 kepada 25 orang bagi memperkuatkan futsal lelaki Kedah.

Menurutnya, pengurusan meletakkan sasaran tersebut bagi menyaingi pencapaian pada musim 2016 apabila berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir.

"Kami cuba meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berjaya mara ke peringkat separuh akhir kerana sedar dengan kelebihan dan pengalaman pasukan-pasukan lain seperti Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Perak dan Johor yang dibarisi pemain-pemain kebangsaan.

"Kedah tampil selaku pasukan 'underdog' kerana kali ini pasukan dibarisi ramai pemain baharu namun kami masih percaya dengan kualiti dan kemampuan pemain-pemain ini. Jika berjaya mara ke final, kami sifatkan ia sebagai bonus," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini sebanyak 176 pemain futsal lelaki dari seluruh negeri Kedah hadir pada sesi pemilihan terbuka yang diadakan selama dua hari pada 4 dan 5 Januari lalu di D'Futsal Titi Gajah, dekat sini.

Menurut Anuar, dari jumlah tersebut, panel pemilihan telah memilih sebanyak 54 pemain bagi fasa pemilihan akhir yang diadakan pada semalam dan hari ini juga di tempat yang sama.

"Pada musim 2017, Kedah tidak menyertai Liga Profesional Futsal Kebangsaan kerana disebabkan atas beberapa faktor manakala pada musim 2018 pula Kedah kalah di peringkat kelayakan," katanya lagi.

Tambahnya, persiapan rapi akan dilakukan dalam tempoh beberapa bulan ini sebelum liga bakal membuka tirai pada April ini.