X

Kindly register in order to view this article
!

Sultan, Sultanah Kedah titah rakyat patuhi SOP menjelang Aidilfitri

Sultan Sallehuddin (kanan) menyerahkan borang bagi membuat bayaran zakat pendapatan melalui potongan gaji bulanan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim di Pejabat Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff menitahkan rakyat negeri ini agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah, baginda berdua memahami perasaan dan kesukaran rakyat yang terpaksa beraya dalam tempoh PKPB kerana wabak Covid-19 masih belum berakhir.

"Rakyat perlu menjaga diri dan terus mengutamakan aspek kebersihan dan keselamatan seperti penjarakan sosial, menggunakan cecair pembasmi kuman dan topeng muka jika berkunjung ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri," titah baginda dalam kenyataan tersebut.

Tuanku Sultan dan Tuanku Sultanah turut menzahirkan rasa simpati kepada anak-anak Kedah yang berada di perantauan kerana tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya, namun mereka diminta bersabar kerana ia adalah demi kebaikan semua pihak.

Dalam perkembangan lain, Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 semalam.

Tuanku berdua berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan mengutamakan rakyat jelata serta memastikan kesejahteraan negeri ini.

Titah penghargaan juga dizahirkan kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di atas jasa dan sumbangan beliau sepanjang mengemudi kerajaan negeri Kedah.

Terdahulu, Sultan Sallehuddin berkenan menunaikan bayaran zakat fitrah bagi tahun 1441 H/ 2020M di Wisma Darul Aman di sini hari ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman.

Baginda juga menitahkan rakyat negeri ini yang bekerja dan mempunyai pendapatan bulanan membuat bayaran zakat secara potongan gaji bulanan bagi memudahkan urusan setiap tahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!