Ambil iktibar kes pelajar gagal patuhi arahan perintah pengawasan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru orang ramai mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang gagal mematuhi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

Akibatnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham, pelajar terbabit disahkan positif Covid-19.

"Ini boleh memberi risiko jangkitankepada orang yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik," katanya.

Menurutnya, pelajar yang dihantar pulang perlu mematuhi notis arahan di bawah Seksyen 14, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,1988 (Akta 342).

"Bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, kesemua pelajar diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di kediaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pelajar yang dihantar ke Sabah dan Sarawak pula perlu menjalani persampelan Covid-19.

"Sekiranya keputusan negatif, baki tempoh kuarantin perlu dijalankan di rumah masing-masing," katanya.

Sejak 27 April hingga semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham sekali lagi melahirkan kebimbangan terhadap jumlah pergerakan merentas negeri yang didapati masih tinggi.

Sebanyak 2,931 kenderaan cuba merentas negeri dalam tempoh tiga hari untuk pulang ke kampung bagi menyambut perayaan bersama keluarga.

"Ini memang membimbangkan terutama jika membabitkan pula pelajar IPT yang pulang ke keluarga masing-masing.

"Ahli keluarga mereka yang mungkin terdiri daripada kumpulan berisiko misalnya warga emas, kanak-kanak serta golongan rendah imuniti disebabkan pelbagai penyakit kronik atau komorbiditi lain," katanya.

Menurutnya, setakat hari ini, daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 melibatkan 961 warga emas berumur 60 tahun ke atas.

"Kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah pula membabitkan 318 orang," katanya.

Beliau berkata, jika dilihat dari segi faktor komorbiditi, setakat 17 Mei, KKM mendapati 744 daripada keseluruhan kes positif Covid-19 menghidap penyakit kronik.

"Misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit.

"Kumpulan berisiko tinggi ini perlu dilindungi. Lindungi sempadan negara, negeri, daerah, rumah dan juga keluarga kita," katanya.