Buat janji temu dahulu bagi dapatkan rawatan pergigian

Orang ramai perlu membuat janji temu terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan pergigian di klinik kesihatan kerajaan. (Gambar kecil: R Vidyananthan)
Orang ramai perlu membuat janji temu terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan pergigian di klinik kesihatan kerajaan. (Gambar kecil: R Vidyananthan)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan pergigian di klinik pergigian awam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu membuat janji temu terlebih dahulu.

Exco Kesihatan, R Vidyananthan berkata, kerajaan negeri sebelum ini menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan pergigian dalam masa diselubungi kebimbangan berhubung penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, pesakit boleh menghubungi klinik pergigian terdekat melalui telefon bagi mendapatkan tarikh pemeriksaan pergigian.

"Rekod menunjukkan terdapat penurunan ketara kedatangan pesakit luar pada bulan Mac lepas (50,933 orang) berbanding dengan Januari lepas (68,413 orang), melibatkan sebanyak 25 peratus penurunan semasa PKP.

"Kedatangan pesakit luar pergigian di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mac lepas sekitar 60,000 pesakit setiap bulan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelasnya, Johor mempunyai 60 buah klinik pergigian primer tetap dan 30 klinik pergigian lawatan untuk pesakit luar.

Selain itu katanya, terdapat 23 klinik pergigian pakar pelbagai disiplin seperti Klinik Pakar Bedah Mulut dan Masilofacial, Klinik Pergigian Paediatrik, Klinik Orthodontik, Klinik Pergigian Restoratif, Klinik Pergigian Periodontik dan Klinik Pergigian Pakar Patologi dan Perubatan Mulut.

"Mengikut normal baru perkhidmatan pergigian, bilangan pesakit yang dibenarkan hadir pada satu-satu masa adalah terhad dari segi bilangan pesakit yang dirawat.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu ada sebahagian daripada rawatan pergigian elektif tidak dapat diberikan buat sementara waktu.

"Ketika ini, perkhidmatan pergigian yang disediakan terhad kepada kes-kes kecemasan sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan tiada kes baharu jangkitan Covid-19, dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Johor kekal 668 kes dengan 129 kes aktif.

"Walau bagaimanapun, tiada kes kematian direkodkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Johor kekal sebanyak 19 orang," katanya.