14 individu ditahan, rampas dadah bernilai RM107,200

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah dipercayai jenis syabu yang berjaya Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dalam dua operasi berasingan di bandar raya ini ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kepayan hari ini. - Foto Bernama
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah dipercayai jenis syabu yang berjaya Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dalam dua operasi berasingan di bandar raya ini ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kepayan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan 14 individu termasuk empat wanita serta merampas 1.4 kilogram ganja dan 698.51 gram syabu bernilai RM107,200 dalam dua kes berasingan di sekitar daerah ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dalam kes pertama, Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu telah menahan 13 individu termasuk empat wanita berusia antara 18 dan 27 tahun dalam empat serbuan berasingan pada 15 Mei lalu.

“Semasa serbuan berkenaan, sebanyak 1,400.99 gram ganja dan 600.51 gram syabu dirampas yang dianggarkan bernilai RM92,500.

"Kesemua siri serbuan berkenaan dilakukan ekoran tertangkapnya tiga lelaki yang menaiki sebuah kenderaan di hadapan (pejabat) Pos Laju Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, Sepanggar jam 9.15 pagi Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang berada di luar kenderaan berkenaan polis menemui 578.07 gram ganja dalam bungkusan plastik yang dipercayai baru sampai dari Semenanjung,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis kemudiannya berjaya menahan dua lagi lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut semasa mereka cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan kemudiannya menemui 548.22 gram ganja yang juga dipercayai baru tiba dari Semenanjung melalui perkhidmatan Pos Laju.

“Siasatan lanjut terhadap suspek berkenaan telah membawa kepada tiga lagi serbuan pada hari yang sama di tiga rumah berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan menahan 10 lagi individu bersama rampasan dadah yang ditemui di rumah berkenaan,” kata Zaini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kes kedua, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing bersama 98 gram syabu bernilai RM14,700 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Menggatal semalam.

Zaini berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Mei ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama