156 individu ditahan ingkar PKPB

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 156 individu ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 104 direman dan 52 diberi jaminan polis.

“Sebagaimana yang maklumkan sebelum ini pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu ingkar kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

“Justeru saya ingin mengingatkan agar semua pihak mematuhi setiap SOP dan peraturan yang telah ditetapkan kerana kegagalan mematuhi SOP dan peraturan menyebabkan semua individu terbabit ditahan,” katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 69,797 pemeriksaan semalam (bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP, PKPB di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 4,914 pasar raya, 5,044 restoran, 804 penjaja dan 1,109 kilang serta 3,354 bank telah diperiksa.

“Pemeriksaan juga telah dibuat di 1,091 terminal pengangkutan darat, 190 terminal pengangkutan air dan 90 terminal pengangkutan udara.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 24,639 buah kenderaan persendirian; 2,130 kenderaan awam dan 402 vessel turut diperiksa, selain pemeriksaan di 2,474 pasar awam; 4,048 tempat ibadah; 1,349 tempat riadah dan 391 tapak binaan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan sebanyak 1,175 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM.

"PDRM juga telah mengenakan 148 Sekatan Jalan Raya Rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara dan memeriksa 156,096 kenderaan," katanya.