Bekas peguam didakwa pecah amanah lebih RM300,000

Seorang bekas peguam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil pembelian dan jualan rumah milik empat individu berjumlah RM330,350.81 lapan tahun lalu.
Seorang bekas peguam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil pembelian dan jualan rumah milik empat individu berjumlah RM330,350.81 lapan tahun lalu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang bekas peguam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil pembelian dan jualan rumah milik empat individu berjumlah RM330,350.81 lapan tahun lalu.

Tertuduh, Herlina Kamisiah Sauli,42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Aswarnida Affandi.

Mengikut kesemua pertuduhan, wanita tersebut ketika bertugas sebagai peguam didakwa menyalah gunakan wang pembelian rumah milik Rosdiana Mangkona sebanyak RM30,159; Mubarak Hussain Akhtar Husin (RM160,000); Tan Chang Ngiap (RM68,191.81) dan Selvam Narayanan (RM72,000) untuk kegunaan sendiri.

Tertuduh yang juga seorang ibu tunggal yang kini bekerja sebagai tukang jahit didakwa melakukan kesalahan itu antara 25 Februari 2011 hingga 1 Februari 2012.

Kesalahan didakwa dilakukan ketika tertuduh bekerja sebagai pengamal undang-undang di pejabat firma guaman di tempatnya bekerja di Dataran Sunway Kota Damansara di sini.

Bagi setiap kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM460,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Zulkifli Awang merayu agar anak guamnya diikat jamin pada kadar rendah dengan alasan Herlina sudah berhenti kerja daripada profesion itu sejak 2013.

Artikel Berkaitan:

Herlina yang hadir dengan rakan baiknya, Nur Amalina Ishak bertindak sebagai penjamin.

Namun Azwarnida menegur Nur Amalina kerana tidak mendapatkan maklumat peribadi tertuduh sebelum hadir ke mahkamah.

"Kamu sanggupkah jamin dia, sebab ia melibatkan jumlah besar dan tahu tak ini kes pecah amanah.

"Sekiranya saya membebaskan tertuduh, mahkamah membenarkan tertuduh dengan jaminan, jika dia gagal hadirkan diri ke mahkamah pada hari sebutan, mana kamu nak pergi cari dia untuk hadir ke mahkamah nanti," katanya.

Selepas berpuas hati dengan ulasan Nur Amalina, mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan 22 Jun ini sebagai sebutan semula kes.