Wanita jual mercun diberkas

Polis merampas pelbagai jenis mercun, semalam.
Polis merampas pelbagai jenis mercun, semalam.
A
A
A

SEPANG - Seorang wanita yang disyaki menjual mercun ditahan di sebuah medan selera di Bandar Baru Salak Tinggi semalam ketika dalam perjalanan menghantar barang jualan itu kepada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, wanita berusia 43 tahun itu memandu kereta jenis Mercedes dari Petaling Jaya ke medan selera itu pada jam 9.20 malam.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan selepas polis menjalankan risikan dan penyamaran dengan berpura-pura menjadi pelanggan untuk membeli mercun berkenaan.

"Kita meminta suspek menghantar di tepi jalan berhampiran medan selera itu. Setibanya di lokasi, polis melakukan tangkapan dan merampas mercun pelbagai jenis yang disimpan di dalam kereta dengan anggaran nilai RM500," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai menjual mercun melalui Facebook dan kemudian menghantar kepada pelanggan selepas menerima pesanan melalui WhatsApp," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Katanya, wanita yang baru memulakan perniagaan kelmarin mendakwa mendapat bekalan mercun dari seorang lelaki di Kepong.

"Suspek hanya sempat menjual kepada kira-kira 10 pelanggan di sekitar Sepang dan Nilai," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Artikel Berkaitan: