X

Kindly register in order to view this article
!

Sanusi mahu teruskan legasi pentadbiran Ustaz Azizan

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan ketika memulakan tugas pada hari pertama di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor akan meneruskan corak pemerintahan dibawa bekas Menteri Besar Kedah ke-10, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dalam pentadbirannya.

Menurut beliau, pesanan Allahyarham masih terngiang dalam ingatannya dan ia bakal menjadi pegangan dalam mencorakkan hala tuju negeri Kedah.

"Pesanan Ustaz Azizan kepada saya, bekerja di waktu singkat (dunia), berehat di waktu panjang (akhirat), kata-kata Allahyarham ini memberi peringatan agar kita bekerja, berkorban dan berfikir untuk orang ramai, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Itu yang Ustaz Azizan lakukan, saya juga akan lakukan perkara yang sama," katanya ketika ditemui di pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, amanah yang dipikulnya bukan untuk meraih kekayaan atau kelebihan untuk diri sendiri, sebaliknya harus mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.

"Sini tempat orang bekerja, bukan tempat untuk cari keistimewaan. Di sinilah tempat Ustaz Azizan bekerja bertungkus-lumus, tidak cuti atau rehat untuk bangunkan negeri," katanya.

Menurutnya, pejabat menteri besar hendaklah menjadi wadah bagi membincangkan perkara serius dalam memacu pembangunan negeri dan rakyat.

Muhammad Sanusi yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Azizan(2008-2013) seakan sebak ketika mengimbau kenangan bersama Ustaz Azizan selama sepenggal mentadbir negeri ini.

"Allahyarham duduk di bilik ini selama lima tahun, bekerja untuk rakyat. Saya rasa saya boleh buat apa yang terbaik untuk Kedah," katanya.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Naib Ketua Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai Setiausaha Politik manakala Muhamad Mat Yakim yang sebelum ini merupakan Felo Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai Setiausaha Akhbar berkuatkuasa hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi tiba di pejabatnya di Wisma Darul Aman bagi memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Datuk Armishah Siraj, sebelum mengetip kad perakam waktu pada jam 8.43 pagi.

Muhammad Sanusi kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan kaki tangan pejabat Menteri Besar, sebelum memulakan tugas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-14 di hadapan Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah semalam.

Beliau menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas ADUN Jitra itu melepaskan jawatan setelah hilang kepercayaan ADUN Kedah, apabila Perikatan Nasional beroleh 23 sokongan ADUN.

ARTIKEL BERKAITAN Muhammad Sanusi pemimpin mesra, mudah didekati

Sanusi sah Menteri Besar Kedah baharu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus