Meregulasi kriptowang di Malaysia

A
A

BERMULA pada 15 Januari yang lalu, Kementerian Kewangan telah menggazetkan Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 dengan menetapkan mata wang digital atau kriptowang dan token digital sebagai sejenis sekuriti serta di bawah bidangkuasa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kini, mana-mana individu atau syarikat operator yang menjalankan aktiviti penawaran syiling permulaan atau Initial Coin Offering (ICO), sumbangan dana awam (crowdfunding) atau mengendalikan apa-apa jua pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta.

Berbeza dengan wang fiat, kriptowang atau matawang kripto (cryptocurrency) merupakan sejenis matawang swasta (private currency) yang dikeluarkan oleh pihak swasta dan digunakan dalam pelbagai tujuan komersial. Sehingga kini, sudah terdapat 48 buah syarikat kriptowang yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia.

BNM masih tidak mengiktiraf kriptowang sebagai wang sah di negara ini. Namun, ia tidak bermaksud kriptowang tidak boleh diperlakukan dalam mana-mana transaksi komersial. Sebagai contoh, jika anda menggunakan Bitcoin untuk membeli makanan, dari segi undang-undang ia tidak menjadi kesalahan asalkan si penjual menerima Bitcoin sebagai salah satu medium pembayaran.

Kerajaan Malaysia masih mengambil pendekatan untuk tidak mengharamkan atau melarang penggunaan kriptowang seperti di sesetengah negara, namun tetap menasihati orang awam agar berhati-hati apabila berurusan dengan kriptowang bagi mengelakkan daripada ditipu atau terlibat dengan penggubahan wang haram.

Produk kriptowang yang ditawarkan di pasaran juga perlu diteliti dengan baik. Pihak pengeluar kriptowang tidak boleh menawarkan kriptowang yang bersifat mengambil wang atau deposit daripada orang awam kerana pengambilan deposit secara haram adalah satu kesalahan jenayah.

Sudah banyak syarikat kriptowang yang disiasat dan didakwa oleh pihak BNM kerana modus operandi produk kriptowang mereka melibatkan pengambilan deposit daripada orang awam. Akta Perkhidmatan Kewangan telah menetapkan bahawa hanya institusi kewangan yang dilesenkan oleh BNM sahaja yang dibenarkan mengambil deposit daripada orang awam.

Biarpun sebelum ini Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan Bitcoin sebagai sejenis mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum, ini masih tidak menghalang pihak kerajaan untuk meregulasi kriptowang dan tidak mengharamkannya.

Tidak dinafikan bahawa Malaysia sedang menuju kearah masyarakat tanpa tunai (cashless society) dan mata wang digital dilihat semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat. Pada tahun lalu, BNM telah menganggarkan secara purata sekitar RM75 juta transaksi Bitcoin dan kriptowang lain telah dijalankan di Malaysia pada setiap bulan.

Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan wajar untuk dikawalselia bagi mengelakkan daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini mahupun salah laku dalam transaksi.

Tindakan pihak kerajaan mewartakan SC sebagai pihak berautoriti untuk mengawal selia mata wang digital dan token digital ini dilihat kena pada masanya. Namun, Perintah yang digazetkan beberapa hari lalu hanya menggariskan bidang kuasa SC tetapi tidak pula menjelaskan bidang kuasa BNM dalam hal ini.

Menurut SC, semua operator diberikan tempoh masa sehingga 1 Mac 2019 untuk mendaftarkan diri. Sepanjang tempoh ini, semua operator ini tidak dibenarkan untuk menerima pelabur baharu dan hanya dibenarkan untuk terlibat dengan aktiviti pemudahan transaksi pengeluaran dan pemindahan dana pelanggan atau pelabur sedia ada sahaja.

Malahan, SC turut mengarahkan semua operator kriptowang yang menjalankan aktiviti ICO agar berhenti daripada menerima dana daripada orang awam atau pelabur dan dikehendaki untuk mengembalikan semula semua wang atau aset yang telah dikutip kepada pelabur masing-masing.

Tindakan SC ini dilihat begitu tegas dan sedikit merencatkan aktiviti pelaburan berkaitan kriptowang dan token digital di negara ini. Banyak syarikat kriptowang atau token digital terkesan dengan tindakan ini dan akhirnya merosakkan pendapatan syarikat mereka.

Syarikat awam berhad seperti Country Heights Holdings Bhd pada tahun lalu turut terlibat dalam menawarkan ICO kepada pelabur awam apabila cadangan tersebut diluluskan oleh para pemegang saham syarikat tersebut. Country Height akan mengeluarkan kriptowangnya sendiri iaitu Horse Currency yang disokong dengan RM2bilion aset syarikat tersebut. Adakah ICO yang ditawarkan oleh Country Heights ini juga bakal terkesan dengan tindakan SC ini?

Bagaimana pula dengan syarikat atau operator kriptowang yang bertapak di luar negara tetapi menawarkan produk kriptowang dan ICO kepada rakyat di negara ini?

Walau bagaimanapun, melihat dari perspektif pihak berkuasa, SC dilihat terpaksa untuk mengambil tindakan sedemikian rupa demi menjaga kemaslahatan orang awam bagi mengelakkan orang awam daripada ditipu dan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Risiko sistemik kepada kestabilan kewangan negara juga perlu diambilkira. Ini kita harus faham.

Kita akan terus melihat perkembangan perundangan mata wang kripto di negara ini dan dalam masa yang sama turut berharap agar semua regulasi berkaitan aset digital atau kriptowang yang diwartakan oleh kerajaan tidak akan bersifat mengongkong yang akhirnya akan membantutkan pertumbuhan industri yang masih mentah ini.

* Penulis adalah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.