Perikatan Nasional semakin kukuh kuasai sembilan negeri

Muhyiddin Yassin. - Foto Reuters
Muhyiddin Yassin. - Foto Reuters
A
A
A

SHAH ALAM - Perubahan politik yang berlaku di Kedah menyaksikan Perikatan Nasional (PN) kini telah menguasai sembilan negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak.

Daripada sembilan negeri ini, UMNO memegang jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri terbanyak di empat negeri iaitu Perlis, Melaka, Johor dan Pahang. Pemimpin Pas pula menjadi Menteri Besar di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ketua kerajaan dua lagi negeri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi Menteri Besar di Perak dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, situasi yang berlaku di Kedah mempengaruhi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) di negeri lain untuk keluar parti sebagai wakil rakyat Bebas.

Kamarul Zaman Yusoff
Kamarul Zaman Yusoff

Menurutnya, PN di Negeri Sembilan hanya memerlukan sokongan tiga lagi ADUN bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Terdapat tiga ADUN PH di Negeri Sembilan yang dikenal pasti mungkin akan melompat parti atau isytihar Bebas. Seorang daripadanya memang penyokong kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“PN sudah menguasai sembilan negeri, maka sudah pasti keadaan ini akan mengubah senario politik negara dan menyebabkan ada ADUN PH terutama yang berada di atas pagar akan menyokong kerajaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, PN semakin memperkukuhkan kedudukan apabila menguasai sembilan negeri ketika ini.

Menurutnya, situasi itu turut memberi petanda kepada rakyat mengenai kesedaran dalam kalangan wakil rakyat bagi menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Mungkin apabila mereka bekerjasama, ia akan mempemudahkan kelicinan pentadbiran di peringkat negeri.

“Pada masa sama, bantuan dan sumbangan untuk pengundi di kawasan mereka akan jadi lebih mudah,” katanya.