Dera dua bayi: Pengasuh ditahan polis

PDRM
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengasuh yang dicari polis bagi membantu siasatan kes dera dua bayi di sebuah taska di Desa Saujana Kajang, ditahan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, wanita berusia 31 tahun dari Bandar Baru Bangi ini telah ditahan di Kapar, Klang pada jam 5.45 petang tadi.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bersabit kes penderaan dua bayi terbabit," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang semalam, sepasang suami isteri mengambil anak mereka berusia lima bulan di taska tersebut dan setibanya di rumah, bayi berkenaan mengalami muntah-muntah.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Dua bayi lelaki didera pengasuh ]

Satu lagi pasangan yang turut menggunakan khidmat taska sama mengesyaki bayi mereka berumur tujuh bulan didera kerana terdapat kesan lebam di leher bayi itu.

Kedua-dua bayi itu dibawa ke Hospital Putrajaya dan pemeriksaan pada bayi pertama mendapati terdapat kesan lebam serta kesan disyaki kuku jari lebih kurang satu sentimeter di bahagian dada.

Sementara bayi kedua mempunyai kesan lebam di leher.