X

Kindly register in order to view this article
!

Produktiviti alaf baharu

A
A

RAMADAN kali ini unik kerana disambut dalam keadaan umat Islam seluruh negara berhadapan dengan wabak Covid-19. Di Malaysia kita terpaksa duduk di rumah dan mengamalkan normal baharu dan jarak sosial. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penggunaan topeng muka dan kerap membasuh tangan dan penggunaan sanitizer kini menjadi amalan dan kebiasaan.

Lockdown yang diperkenalkan banyak hikmahnya. Walaupun banyak sekatan dan larangan demi menghentikan rantaian Covid-19, namun PKP sebenarnya mengeratkan lagi rantaian kekeluargaan. Kita mempunyai masa yang produktif bersama keluarga yang selama ini kurang diberi perhatian dek kesibukan dengan tugas hakiki. Dalam bulan yang mulia ini kita tidak dibenarkan solat berjemaah dan solat tarawih di masjid, surau atau musolah.

Namun kita digalakkan untuk solat di rumah. Pada masa ini lah kita melakukan solat berjemaah bersama keluarga. Rata-rata keluarga menjadi meriah dan bertambah erat. Berbagai aksi dan gelagat yang kita terima dari teman dan rakan dalam media sosial. Masak, bercucuk tanam, melakukan kerja rumah bersama keluarga menyemarakkan kasih sayang. Bermaksud wujud keluarga yang bahagia dan produktif.

Terkini WHO mengatakan mungkin untuk menghapuskan wabak ini akan memakan masa hingga empat atau lima tahun. Bermakna normal baharu akan menjadi budaya yang mesti diamalkan dalam kehidupan kita. Adakah sekolah dan institusi pengajian tinggi masih perlu lagi ditutup? Jika benar, kita tiada pilihan.

Malahan dalam beberapa tahun mendatang masih lagi tiada perhimpunan atau perjumpaan melibatkan ramai orang dalam satu tempat dan masa. Tidak boleh bersesak dan perlu melakukan jarak sosial sekurang kurang 1 meter semasa membeli belah dan berurusan di pejabat.

Namun ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan rutin harian atau pekerjaan. Atas asas inilah pihak pemerintah memberi kelonggaran dengan membenarkan perniagaan dan industri, kilang dan sektor pembuatan lainnya dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP). Produktiviti negara perlu diutamakan dalam apa juga keadaan. SOP ini disediakan selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan kerja-kerja pembinaan diteruskan semasa PKP. Ia juga bertujuan untuk memperincikan proses permohonan syarikat mendapatkan kebenaran menjalankan kerja semasa PKP.

Kita mesti membiasakan diri dengan cara kehidupan dan trend produktiviti alaf baharu. Peniaga perlu menukar strategi pemasaran secara dalam talian. Pendidikan di sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu mengorak langkah dengan pendekatan pendidikan jarak jauh.

Rungutan yang kedengaran adalah rangkaian internet yang masih perlu dipertingkatkan. Kawasan luar bandar rata-ratanya mempunyai liputan internet yang lemah. Sesetengah tempat di bandar juga masih susah untuk mengakses internet bagi tujuan pekerjaan dari rumah atau pelajaran. Internet kini menjadi amat penting dan perantara yang menjadi kemestian. Pihak kerajaan perlu mengutamakan aspek ini agar segala urusan dalam era normal baharu dapat dilakukan dengan lancar.

Pekerja juga perlu lebih memahirkan diri dengan pendekatan dalam talian dan pendigitalan sebagai budaya kerja. Kini semua orang perlu celik komputer dan menjadikan perantaraan melalui internet dalam semua aspek kehidupan.

Pertumbuhan modal insan mampu dicapai dengan peningkatan pengetahuan dan kepakaran pekerja melalui proses pendidikan secara formal atau tidak formal.

Kita juga mengharap agar pekerja dan warga negara mengutamakan produktiviti dan terus menyuntik pembangunan negara tercinta walaupun ketika risiko. Kita perlu berperang dengan wabak Covid-19 dengan mengamalkan normal baharu. Pengorbanan, kesabaran dan kesungguhan menjadi kunci kemenangan memerangi wabak ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus