Penagihan dadah satu penyakit

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PENAGIH dadah cukup dibenci masyarakat kerana mereka ini berpotensi tinggi melakukan jenayah termasuk membunuh keluarga sendiri gara-gara hilang kewarasan akibat pengaruh dadah.

Setiap kali mendengar berlakunya sesuatu kes jenayah dan pelakunya adalah seorang penagih dadah, rasa benci itu semakin membuak-buak.

“Dah tak tahu nak buat macam mana, dah letih! Polis pun dah naik menyampah. Lepas tangkap, keluar penjara tetap hisap dadah balik.”

Itu pula keluhan seorang kakak mengenang nasib adik lelakinya yang hanyut tidak bertepian dalam gelora najis dadah sejak 10 tahun lalu selepas tamat sekolah menengah.Tiada siapa mahu ahli keluarga sendiri terperangkap dalam penyalahgunaan dadah namun sejauh mana kita mampu menerima takdir itu sebagai satu ujian ALLAH SWT.

Berbagai onak duri perlu ditempuh dengan panahan tajam tohmahan masyarakat sekeliling. Bak kata pepatah Melayu yang mudah difahami, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.

Pada Jun 2019, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melaksanakan dikriminalisasi penagih dadah dengan mentakrifkan penagihan dadah sebagai satu penyakit.

Dikriminalisasi itu lebih kepada tindakan pentadbiran dan fokus kepada rawatan serta pemulihan berbanding menghukum.

Apabila ditakrifkan sedemikian, ini bermaksud penyakit penagihan dadah sama seperti penyakit lain.

Artikel Berkaitan:

Ia boleh dicegah, dirawat, dikawal daripada berjangkit, dipulihkan ataupun seseorang itu akan hidup sepanjang hayat dengan penyakit tersebut sehingga nafas terakhir.

Dalam pelaksanaan dikriminalisasi penagih dadah, KDN dan KKM akan menjalankan pelbagai program Harm Reduction melalui terapi dadah gantian methadone.

Pembelian peralatan perubatan dan ubat-ubatan dilakukan secara bersepadu bagi mengurangkan kos pengurusan rawatan di pusat tahanan dan depoh tahanan seliaan KDN.Ada anggota masyarakat yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu kerana wujudnya stigma terhadap penagih dadah yang sudah menebal sekian lama.

Bila dapat tahu seseorang itu penagih dadah, terus masyarakat kaitkan dengan perbuatan mencuri, merogol, membunuh, pecah rumah dan macam-macam lagi.

Sepanjang tempoh Januari hingga November 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan 19 makmal dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM272.9 juta.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam tempoh itu menunjukkan seramai 163,496 pesalah dadah ditahan merangkumi pembekal (25,077 orang), memiliki dadah (61,629 orang) dan penagih (76,790 orang) di seluruh negara.

Kita perlu akui bahawa adalah mustahil untuk mencapai tahap negara bebas dadah tetapi kerajaan melalui pihak berkuasa komited memerangi pengedaran dadah secara berterusan.

Dari 2014 hingga 2018, AADK mengesan seramai 116,206 orang penagih dengan 73.6 peratus daripadanya iaitu 85,575 orang terdiri dalam kalangan belia berusia 19 hingga 39 tahun.

Dadah jenis methamphetamine seperti syabu dan pil kuda adalah yang paling banyak disalah guna selain heroin.

Pada 2018, pemantauan dan penilaian AADK mendapati seramai 8,449 orang iaitu 55 peratus daripada 15,249 Orang Kena Pengawasan (OKP) telah pulih selepas menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti bagi tempoh dua tahun.

Pencegahan penagihan berulang antara komponen rawatan dan pemulihan dadah yang penting.

Statistik menunjukkan sejak tahun 2014 hingga 2018, hanya 25 peratus kes dikesan merupakan penagih dadah berulang.

Untuk mengekalkan kepulihan dan membolehkan bekas penagih dadah diterima masyarakat, sokongan komuniti setempat amat penting agar mereka tidak berasa diri tersisih.