Ramadan, Syawal yang sederhana

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SETIAP tahun, penulis pasti akan ke Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk berkunjung ke bazar raya di sana.

Niat di hati bukanlah untuk membeli-belah, tetapi ingin menikmati suasana bazar yang meliputi Jalan TAR hingga ke Masjid India.

Membeli-belah di pasar raya berhawa dingin yang tumbuh bak cendawan akhir-akhir ini mungkin lebih lebih selesa dan nyaman, tetapi untuk merasai degup nadi Kuala Lumpur, di Jalan TAR-lah tempatnya.

Tetapi tahun ini, hasrat itu tidak kesampaian. Tahun ini, tiada bazar raya mahupun bazar Ramadan. Negara kita masih dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sebagai respons kepada wabak Covid-19 yang melanda.

Bukan bazar sahaja yang dibatalkan. Lebih penting lagi, selama beberapa minggu solat jemaah tidak dibenarkan di masjid dan surau, termasuklah solat sunat tarawih. Hanya baru-baru ini, solat jemaah di masjid dibenarkan secara berperingkat dan terhad kepada beberapa orang jemaah sahaja.

Tahun ini juga tiada bufet Ramadan yang selalu ditawarkan di hotel-hotel dan juga restoran. Kritikan yang selalu dibangkitkan terhadap bufet buka puasa adalah ia menggalakkan pembaziran makanan.

Samalah juga, dengan tiadanya bazar Ramadan, kita juga tidak punya peluang untuk membeli makanan yang melebihi apa yang kita perlukan, seperti yang selalu terjadi. Walaupun tidak dinafikan, ketiadaan bazar Ramadan fizikal menjejaskan rezeki mereka yang selalu berniaga ketika bulan puasa.

Tiada juga majlis berbuka puasa dan pelbagai aktiviti lain yang mana terdapatnya perhimpunan orang, semua kerana wabak Covid-19 yang melanda.

Artikel Berkaitan:

Ya, PKP dan PKPB ini memang mencabar. Ramai di antara kita yang putus mata pencarian, dipotong gaji dan hilang kerja. Ramai di antara kita terpaksa mengikat perut, menunggu bantuan kerajaan dan menghadapi pelbagai kesusahan lagi.

Berbeza

Tetapi dalam kesukaran dan cabaran yang ditempuhi, ada juga hikmahnya. Ramadan tahun ini disambut dengan begitu sederhana. Tiada perbelanjaan yang berlebihan. Ibadah kita juga bersama dengan keluarga, merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

Ramadan yang sederhana ini memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin.

Tidak lama lagi, kita akan menyambut Syawal pula. Sambutan Aidilfitri tahun ini berbeza sungguh dengan tahun-tahun sebelumnya.

Ramai di antara kita yang terpaksa beraya di perantauan tahun ini. Kerajaan telah melarang pergerakan rentas sempadan sewaktu PKPB, dan ini termasuk perjalanan untuk pulang ke kampung.

Samalah juga aktiviti kunjung-mengunjung di hari raya, juga dihadkan pada hari raya pertama, tidak merentas sempadan dan terhad kepada 20 orang dalam suatu masa.

Inilah ‘kebiasaan baharu’ yang kita harus terima dalam dunia yang masih bergelut dengan wabak yang masih belum ada vaksinnya.

Tetapi seperti lirik lagu ‘Selamat Berhari Raya’ dendangan Rahimah Rahim, tabahlah kita menghadapi apapun dugaan yang datang.

Walaupun kita berjauhan dari kaum keluarga, walaupun kita tidak dapat kunjung mengunjung, walaupun tiada rumah terbuka, kita harus menerima dengan redha bahawa tahun ini sambutan Ramadan dan Syawal kita berbeza berbanding biasa.

Mungkin suatu hari nanti, apabila dunia sudah berjaya mengatasi wabak Covid-19 ini, kita boleh balik kepada amalan baik kita sebelum ini, dan meninggalkan terus amalan yang kurang baik, insya-ALLAH.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur