50 tahun mencorak kegemilangan

A
A
A

SELAGI nyawa dikandung badan, kita masih berpeluang mengorak langkah memperbaiki keadaan. Semangat juang yang digambarkan dalam pepatah lama Melayu ini amat sesuai mengiringi diaspora Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mewarnai persada tempatan dan antarabangsa dalam menginjak usia 50 tahun.

Penubuhan UKM pada tanggal 18 Mei 1970 dengan misi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu telah melalui banyak onak dan duri termasuklah tentangan pelbagai pihak kerana bagi mereka adalah mustahil sebuah universiti kebangsaan yang memartabatkan bahasa Kebangsaan berdiri gagah setanding dengan universiti-universiti yang lain. Pun begitu, para pejuang bangsa ulung tidak pernah luntur semangat juang mereka, malah semakin besar pengorbanan mereka saban hari demi melihat anak bangsa maju dan terkehadapan dalam pelbagai bidang ilmu.

Sepanjang 50 tahun penubuhannya, UKM telah berjaya melahirkan ramai alumni tersohor dan pemimpin berpengaruh dalam pelbagai bidang yang memacu kemajuan negara. UKM berperanan menyediakan graduan yang memenuhi kehendak pasaran melalui peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran selari dengan tuntutan industri. Peranan dalam aspek penarafan dan pengantarabangsaan juga dilihat menjadi agenda penting bagi pembangunan UKM.

Sesekali menoleh ke belakang sambil bermuhasabah diri turut menjadi pedoman penting mengiringi kegemilangan UKM. Apa jua kekurangan dan kegagalan masa lalu bukanlah untuk diratapi tetapi diperbaiki. Pada masa sama, UKM terus mencari kekuatan dalaman yang boleh dijadikan perisai bagi menangkis cabaran mendatang. Kejayaan yang dicapai oleh UKM melalui usaha gigih yang telah ditunjukkan oleh warganya dapat menentukan kekentalannya mendepani cabaran masa hadapan.

Tahun 2020 memahat seribu satu harapan baharu untuk UKM jayakan. Ia juga membawa pelbagai cabaran termasuklah tempias Industri 4.0 dan terkini Covid-19 yang memahat sejarah hitam yang sukar terpadam. Berdepan dengan pandemik seperti Covid-19, pemulihan secara konkrit dan komprehensif dalam pelbagai spektrum kehidupan amat diperlukan.

Sebagai sebuah institusi, UKM menyedari kebertanggungjawabannya untuk menggerakkan perubahan kepada landskap kelaziman baharu dalam aktiviti harian seluruh masyarakat. Demi melihat pasca Covid-19 tidak mencetuskan krisis ekonomi dan kemanusiaan yang berpanjangan, UKM sama-sama berganding bahu membantu kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi, pembangunan kesihatan awam, kelestarian alam, serta keusahawanan melalui platform digital.

UKM juga menyedari Industri 4.0 turut memberikan tempias kepada konsep penyampaian perkhidmatan yang bakal berubah kepada cabaran yang lebih kompleks. Justeru, UKM telah merangka strategi mendepani perubahan persekitaran ini agar terus berdaya saing.

Internet Untuk Segalanya (IoT), kemahiran data analitik, keselamatan siber serta kesiapsiagaan warga organisasi adalah antara arus perubahan yang turut diberi perhatian oleh UKM dalam merangka pelan strategi pembangunan modal insan yang lebih berkesan. Kesemua teras utama yang terkandung dalam Pelan Strategik UKM 2019-2021 menjadi paksi bagi melonjakkan nama UKM di peringkat nasional dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

UKM yang genap usianya 50 tahun pada 18 Mei 2020 akan terus memukul genderang peniup semangat dan pembakar obor juang rakyat jelata dan warganya demi melakarkan seribu warna dan keindahan. Kepada warga UKM, ingatlah bahawa dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Kita yang mengilhamkan harapan, jadi teruskanlah usaha mencipta masa depan yang lebih cemerlang. Dalam mengejar kecemerlangan, adat lama yang ampuh dibuang jangan, budaya baharu dipupuk, dibugar dan disuburkan.

Selamat ulang tahun ke-50, UKM!

Profesor Dr Zafir Khan bin Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia