Gelandangan oh gelandangan

A
A
A

GOLONGAN gelandangan merupakan kelompok masyarakat yang tiada rumah dan mereka biasanya ada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kewujudan golongan ini adalah disebabkan pelbagai faktor yang menghimpit dan mendesak, antaranya kemiskinan bandar, disisih keluarga, bekas banduan, gangguan mental, dan penagih arak atau dadah.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh United Nations Commission on Human Rights (UNCHR, 2005), seramai 10,459 gelandangan United Kingdom (UK) didapati tidur di jalanan manakala yang menetap di penempatan sementara adalah seramai 98,750.

Di Malaysia, isu ini juga diletakkan dalam laporan statistik negara. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM, 2012) melalui pembentangan di Parlimen menunjukkan jumlah golongan gelandangan di Malaysia bagi tahun 2007 hingga tahun 2011 adalah seramai 7,833 orang yang telah diselamatkan oleh JKM.

Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan secara berterusan dalam isu gelandangan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama agensi berkaitan seperti JKM dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Antara usaha kerajaan dalam menangani isu gelandangan adalah operasi menyelamat dan Akta Orang Papa 1977 (AOP) yang berkaitan dengan gelandangan dan Institusi Kebajikan Desa Bina Diri (berumur 59 tahun ke bawah), Rumah Seri Kenangan (60 tahun ke atas) serta bantuan kewangan yang bersesuaian mengikut kes gelandangan.

Di Kuala Lumpur, kerajaan telah menubuhkan Anjung Singgah yang ditadbir oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Anjung Singgah merupakan sebuah pusat khidmat bantuan sosial yang membantu golongan gelandangan yang berpotensi untuk berubah. Penekanan dalam aspek kaunseling, bimbingan dan motivasi dilaksanakan bagi meningkatkan daya tahan serta mengubah sikap dan tingkah laku mereka.

Bantu

Sejak ditubuhkan pada 2011, seramai 7,047 gelandangan telah mendaftar masuk secara sukarela dan sehingga Mac 2019, seramai 151 orang daripadanya mendapat pekerjaan melalui padanan kerjaya di Anjung Singgah. Selain itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) dengan kapasiti 150 katil turut menerima hampir kesemua kategori gelandangan warganegara di Kuala Lumpur. Sehingga kini seramai 2,315 gelandangan telah mendaftar sebagai penghuni di PTGKL.

Artikel Berkaitan:

Tahniah diucapkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang bukan sahaja telah menyelamatkan lebih kurang 800 gelandangan tetapi berusaha menjaga kebajikan mereka secara berterusan bagi memastikan golongan ini tidak kembali merempat selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimana pula dengan golongan gelandangan di Kota Bharu?

Berdasarkan rekod beberapa NGO seperti Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK), Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Volunteer I Care (VIC) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Kelantan yang menyantuni golongan gelandangan ini sejak bermulanya PKP sehingga sekarang, bukan semuanya disebabkan oleh masalah kemiskinan. Ada yang rela menjadi gelandangan atas pilihan sendiri bukannya terpaksa.

Ada yang mendapat bantuan bulanan daripada JKM dan mempunyai anak serta cucu yang tinggal berdekatan. Ada yang telah diselamatkan dan ditempatkan sementara di Min House Camp, tempat peranginan agro yang selesa dengan segala kos ditanggung oleh pihak-pihak terbabit termasuk makan dan minum yang diberikan secara percuma seperti yang saya kongsikan dalam artikel terdahulu.

Namun, selepas dua minggu, dua gelandangan telah lari dari penempatan selesa tersebut dan kembali ke jalanan. Memang sukar difahami tetapi itulah hakikatnya.