Impian ibu lihat Muhammad Sanusi sebagai MB jadi kenyataan

Muhammad Sanusi bersalaman dan memohon restu daripada ibu dan ayahnya sambil diperhatikan oleh isterinya (kanan) di Kompleks Pas di sini hari ini.
Muhammad Sanusi bersalaman dan memohon restu daripada ibu dan ayahnya sambil diperhatikan oleh isterinya (kanan) di Kompleks Pas di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Ibu kepada Menteri Besar Kedah baharu memanjatkan kesyukuran kerana doa untuk melihat anaknya, Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Menteri Besar dimakbulkan.

Meriam Ahmad, 70, berkata, impian untuk melihat Muhammad Sanusi menjadi Menteri Besar itu bermula sejak anaknya itu belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa di Sungai Petani.

Menurutnya, kebetulan salah seorang Menteri Besar Kedah ketika itu turut mempunyai nama seperti anaknya iaitu Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.

"Saya selalu doakan dia dan alhamdulillah impian saya menjadi kenyataan hari ini.

"Saya rasa terharu tetapi dalam masa yang sama sedikit risau memandangkan dia mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memimpin negeri ini.

"Nasihat saya supaya Muhammad Sanusi dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur, ikhlas dan dia sentiasa mendapat keredhaan dari ALLAH SWT," katanya ketika ditemui di Kompleks Pas di sini hari ini.

Sementara itu, isterinya, Jusmalailani Jusoh, 46, berkata, beliau tidak menyangka suaminya akan menjawat jawatan sebagai ketua tadbir negeri selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-14 hari ini.

Bagaimanapun, beliau yakin Muhammad Sanusi dapat menjalankan tugas dengan baik dan menyokong penuh karier suaminya itu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam bidang politik ini, suami saya banyak belajar dari bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak antaranya bagaimana hendak berdikari, belajar sabar dan cara untuk bergiat dalam politik dengan sebaiknya.

"Jadi saya harap dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar, beliau akan meneruskan legasi yang menjadi harapan Allahyarham suatu masa dahulu.

"Selain itu saya berharap negeri Kedah dan daerah Sik khasnya dapat dimajukan di bawah pimpinan beliau," katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah baharu hari ini di Wisma Darul Aman di sini selepas Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenankan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Jeneri itu sebagai Menteri Besar.

Sultan Kedah memberi perkenan pelantikan Muhammad Sanusi sebagai menteri besar baharu selepas mendapat majoriti ADUN mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.