Apabila hidup sudah selesa

A
A

JIKA mesin pun perlu diselenggarakan, apatah lagi kita sebagai manusia. Kebanyakan kita telah mentafsirkan secara salah tentang hidup yang selesa. Bagi mereka, jika sudah ada duit, anak pun sudah besar, hutang-piutang pun sudah habis dibayar dan sudah pun pencen maka perlu apa lagi untuk bertungkus-lumus memikirkan cabaran hidup kerana sudah pun berada dalam zon yang selesa.

Selain itu, ada juga yang mentafsir bahawa hidup selesa bermakna kita hanya perlu fokus kepada kehidupan kita, ahli keluarga serta kenalan terdekat sahaja tanpa mencampuri urusan orang lain. Apa yang penting kita tidak ganggu mereka dan mereka pun tidak ganggu kita. Betulkah begitu?.

Natijahnya, ramai yang mula ‘shutdown’ atau menutup segala usaha untuk membina rantaian sosial yang baharu serta sudah malas untuk berfikir perkara-perkara berat yang dirasakan boleh membebani keselesaan mereka.

Sebetulnya, keselesaan bermakna, kita telah mencapai kepuasan diri tanpa menyedari akan bahaya atau permasalahan yang mungkin timbul selepas itu. Sebagai contoh, jika seseorang itu berduit, maka mereka boleh makan apa sahaja yang dikehendaki tanpa menyedari kesan penyakit daripada sikap tersebut.

Begitulah juga individu yang banyak relaks, kuat tidur, malas bekerja, tidak minat berfikir serta suka mengambil jalan yang singkat akan mudah menerima impak negatif daripada sikap berkenaan. Pun begitu, sikap mudah selesa ini tidak mengira siapa dan apa kedudukan mereka. Bagi mereka yang sudah selesa dengan kekayaan, masih lagi tidak serik mencipta kekayaan untuk diri sendiri tanpa memperbanyakkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Manakala bagi mereka yang miskin pula, sangat selesa dengan sikap malasnya yang tidak mahu berusaha mengubah kehidupan. Malah, mereka yang selesa dengan amal ibadat pula sentiasa gigih tingkatkan amal agar dirinya masuk ke syurga tanpa membantu orang yang jahil turut bersama dengan mereka.

Hakikatnya, masih ramai yang cukup selesa dengan kehidupan dunia mereka. Baru-baru ini sewaktu saya balik daripada mengerjakan umrah, terdapat beberapa kenalan yang datang berjumpa saya untuk mendapatkan kesahihan cerita yang tular di media sosial tentang bumi yang hijau sepanjang perjalanan dari Madinah ke Makkah. Mereka percaya itu adalah petanda kebesaran dan peringatan daripada ALLAH bahawa kiamat sudah dekat.

Jawapan saya mudah sahaja, “Kenapa kita baru nak percaya tentang kebesaran dan peringatan ALLAH hanya dengan peristiwa bumi hijau berkenaan, sedangkan sudah beribu tahun sebelum ini telah pun diberikan peringatan oleh ALLAH akan tanda-tanda kebesarannya serta peristiwa hari kiamat dalam al-Quran?”. Apa yang jelas, kita hanya suka mendengar kesahihan peringatan tersebut berbanding dengan usaha untuk menambah amal bagi mendapat keredaan dan rahmat daripada ALLAH.

Berkaitan hal ini, ALLAH telah memberikan peringatan kepada manusia dengan firmannya; “Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada kami dalam keadaan berbaring, duduk dan berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas terhadap apa yang mereka lakukan”. (QS Yunus 10:12). Ini bermakna, kita perlu sentiasa istiqamah mengingati ALLAH walaupun dalam keadaan susah dan senang,

Selain itu, kita juga diseru agar jangan mudah hidup selesa tanpa berusaha untuk menambah kebaikan. Ini kerana menurut Hadis Nabi SAW daripada Ibnu Abbas R.A daripada Nabi SAW tentang hadis yang beliau riwayatkan dari Rabb-nya Azza wa Jalla. Nabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya ALLAH menulis kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan kemudian menjelaskannya. Barang siapa berniat melakukan kebaikan namun dia tidak (jadi) melakukannya, ALLAH tetap menuliskannya sebagai satu kebaikan sempurna di sisi-Nya. Jika ia berniat berbuat kebaikan kemudian mengerjakannya, maka ALLAH menulisnya di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda dan sampai berganda banyaknya. Barang siapa berniat berbuat buruk namun dia tidak jadi melakukannya, maka ALLAH menulis di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Dan barang siapa berniat berbuat kesalahan kemudian mengerjakannya, maka ALLAH menuliskannya sebagai satu kesalahan. (HR Bukhari dan Muslim).

Sebetulnya, Kebanyakan mereka yang hidup selesa, hanya selesa untuk mereka sahaja tetapi tidak cukup selesa oleh orang yang berada di sekelilingnya. Apa tidaknya, mereka hanya menjaga kepentingan diri tanpa mempedulikan orang lain.

Ingatlah! Kita bukan mesin yang tiada hati dan akal. Apa pun, jangan hidup terlalu selesa sehingga menjadi seperti tikus yang mati walaupun berada dalam timbunan beras.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.