Perkasa kembali ekonomi negeri, pertanian: Sanusi

Muhammad Sanusi (kanan) selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah baharu kira-kira jam 3.15 petang tadi.
Muhammad Sanusi (kanan) selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah baharu kira-kira jam 3.15 petang tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah akan meneruskan projek pembangunan yang diusahakan oleh kerajaan terdahulu dengan melakukan penambahbaikan ke atas sektor-sektor tertentu bagi melonjakkan kembali ekonomi negeri yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun ada juga sektor yang diusahakan oleh kerajaan Pakatan Harapan Kedah terdahulu bakal dinilai kembali secara keseluruhan dan semua perkara tersebut akan dilakukan dengan perhatian yang teliti.

"Kedudukan Kedah sebagai antara negeri yang termiskin di negara ini memerlukan kita mengambil langkah drastik untuk melonjakkan ekonomi rakyat di pelbagai peringkat. Untuk itu, suatu program jihad membasmi kemiskinan membabitkan golongan fakir dan anak-anak yatim akan dirangka dengan komitmen bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

"Ini tidak hanya fokus kepada orang Islam, Exco yang bertanggungjawab bagi portfolio hal ehwal bukan Islam yang akan dilantik dalam beberapa hari lagi, akan juga memberikan komitmen untuk membasmi kemiskinan menerusi program-program yang lebih efektif," katanya pada sidang media pertamanya sebagai Menteri Besar di Bilik Gerakan Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, pertanian juga adalah sektor yang amat penting kerana bukan sahaja sebagai salah satu komponen ekonomi tetapi juga sebagai jaminan keselamatan makanan (food security) bagi negeri dan negara ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Kedah akan menggiatkan usaha untuk memperkasakan industri pertanian makanan negara bagi memenuhi keperluan rakyat.

"Kita akan merangka pelan tindakan seiring dengan fokus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meningkatkan produktiviti makanan berasaskan pertanian dalam negara sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap produk import,"katanya.

Tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, menyedari kesukaran dihadapi oleh mereka yang terlibat dalam industri komoditi khususnya getah dan kelapa sawit akibat kejatuhan harga yang teruk, kerajaan negeri akan memberi fokus untuk berunding dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan juga pemain industri bagi mencari jalan keluar yang pantas dari masalah ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita juga akan memberikan fokus kepada perkhidmatan penting dan utama kerajaan seperti bekalan air bersih, akses pada kemudahan telekomunikasi dan internet, hal-hal yang berkaitan birokrasi, kebajikan dan lain-lain perkara di mana kita berurusan secara langsung dengan rakyat,"katanya.