X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beranak cedera ditetak dengan pedang samurai

Che Minah menunjukkan gambar kepala suaminya yang berlumuran darah selepas ditetak tiga lelaki dalam kejadian samun di Kampung Air Tawar, Tok Bali malam tadi
A
A

PASIR PUTEH - Seorang lelaki dan anak tirinya terpaksa menerima berbelas jahitan akibat kecederaan pada bahagian kepala selepas ditetak dengan pedang samurai dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Air Tawar, Tok Bali di sini malam tadi.

Kejadian jam 9 malam itu berlaku ketika mangsa, Syed Akhbar Mukaddim Syah, 32, mahu menikmati makan malam bersama isteri, Che Minah Che Muda, 56, selepas hanya menikmati cendol sewaktu berbuka puasa.

Che Minah berkata, belum sempat dia dan suami menjamah makan malam, mereka dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki tidak dikenali yang masuk ke bahagian dapur rumah.

"Tiga lelaki yang memegang pedang samurai terus masuk dan menetak suami saya sehingga kepalanya berlumuran darah sementara dua lagi lelaki telah mencekik leher saya dan kemudian menanggalkan sebentuk cincin serta dua utas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM70,000," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 Syed Akhbar Mukaddim Syah
Syed Akhbar Mukaddim Syah

Menurutnya, melihat keadaan suaminya ketika itu, dia terus menjerit sekuat hati meminta bantuan sehingga didengari anak lelakinya, Suhaimi Mohamed, 33, yang tinggal bersebelahan.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa Suhaimi apabila kepalanya turut ditetak sejurus melangkah masuk ke rumah tersebut.

"Sejurus melangkah masuk ke dalam rumah, lelaki yang memegang pedang samurai itu terus menetak kepala anak saya hingga berlumuran darah dan menerima belasan jahitan," katanya.

Kesan darah masih boleh dilihat di bahagian dapur rumah Che Minah di Kampung Air Tawar, Tok Bali.
Kesan darah masih boleh dilihat di bahagian dapur rumah Che Minah di Kampung Air Tawar, Tok Bali.

Che Minah yang merupakan peniaga runcit di Pasar Tok Bali berkata, suami dan anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat olehnya di Balai Polis Cherang Ruku pada jam 10.30 malam.

Sementara itu, Syed Akhbar berkata, dia masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.

"Saya tidak dapat ingat sepenuhnya lagi bagaimana kejadian itu berlaku dan kepala masih lagi pening," katanya.

Kesan lebam di kawasan pergelangan tangan Che Minah selepas dua utas gelang miliknya disamun.
Kesan lebam di kawasan pergelangan tangan Che Minah selepas dua utas gelang miliknya disamun.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan kesemua suspek terlibat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus