Daren dalam kelas tersendiri

Pemain perseorangan lelaki negara Liew Daren beraksi menentang lawannya dari China Shi Yuqi pada suku akhir Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A

PEMAIN perseorangan profesional negara, Liew Daren meraih pencapaian paling bermakna dalam kariernya apabila mengejutkan pemain nombor dua dunia, Shi Yuqi dari China untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Malaysia Masters di sini, hari ini.

Daren, yang menghuni ranking ke-31 dunia, menunjukkan keazaman tinggi untuk mengetepikan pencabarnya dalam rubber-set 21,12, 16-21, 21-11 untuk muncul wakil tunggal perseorangan lelaki negara meneruskan cabaran pada saingan suku akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.

Bagi Daren secara peribadi, beliau tidak fikir dapat menewaskan Shi Yuqi sebelum perlawanan bermula kerana mengakui kehebatan pemain itu.

Pemain berusia 31 tahun itu berkata beliau menampilkan aksi yang lebih agresif dengan melakukan lebih banyak serangan berbanding lawannya.

“Secara keseluruhan saya puas hati dengan prestasi saya di sini, sekurang-kurangnya pencapaian yang sama ketika Malaysia Masters tahun lepas, kali ini saya akan cuba sehingga ke final” katanya.

Kejayaan itu juga menyuntik semangatnya untuk tampil lebih konsisten dan agresif dalam perlawanan seterusnya esok bertemu satu lagi pemain pilihan keempat kejohanan Son Wan Ho dari Korea Selatan.

Pemain Korea itu mara ke separuh akhir apabila terpaksa berhempas pulas sebelum menyingkirkan pemain pilihan ketujuh, Kidambi Srikanth dari India dengan 21-23, 21-16, 21-17.

Daren berkata, tumpuan pada tahun ini adalah memperbaiki kedudukan ranking dunia untuk meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu cabaran pemain muda negara, Lee Zii Jia, berakhir selepas tewas kepada bekas jaguh dunia Viktor Axelsen dari Denmark yang turun selaku pemain pilihan kelima dengan straight set 12-21, 20-22. - Bernama