Pembangkang persoal keabsahan kerajaan Muhyiddin

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dalam satu kenyataan bersama mempersoalkan keabsahan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut mereka, ia ekoran kegagalan Muhyiddin menguji sokongan beliau di kalangan ahli Parlimen esok.

Kata kenyataan itu lagi, timbul kebimbangan terhadap tingkah laku kerajaan yang kelihatan cuba meraih sokongan dari kalangan ahli-ahli Parlimen melalui pemberian jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta duta-duta bertaraf Menteri.

“Mesyuarat juga bersetuju bahawa pakej rangsangan berjumlah RM260 bilion yang telah diumum Muhyiddin sehingga kini juga masih belum dibentang dan diluluskan Parlimen. Ahli-ahli Parlimen mesti diberi peluang untuk membahaskan pakej rangsangan ini bagi memastikan tiada ketirisan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat.

“Kami sebulat suara dan bersatu hati menegaskan bahawa Parlimen merupakan institusi demokrasi ulung negara yang perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan tanpa sekatan di mana sokongan buat seseorang Perdana Menteri perlu diuji dan disahkan serta tempat di mana Rang Undang-Undang dan masalah rakyat perlu dibincang, dibahas dan diputuskan.

“Kami juga tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengadakan sidang untuk hanya mendengar Titah Diraja serta menegaskan pendirian Pembangkang bahawa Parlimen boleh dan mesti bersidang lebih dari apa yang diusahakan kerajaan sekarang demi menyegerakan penyelesaian masalah rakyat,” kata kenyataan itu hari ini.

Selain Dr Mahathir dan Shafie, kenyataan itu turut disokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Selain itu, kenyataan itu juga sepakat dan berpandangan dalam kes 1MDB berkait Riza Shahriz Abdul Aziz yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan menjadi petanda atau isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, mesyuarat telah membincangkan isu di mana beberapa kementerian baharu telah diwujudkan, namun peruntukan perbelanjaan bagi kementerian-kementerian ini belum lagi dibentang sebagai Rang Undang-Undang dan belum lagi diluluskan di Parlimen.

“Ini semestinya akan menimbulkan persoalan berkenaan perjalanan urusan serta sebarang perbelanjaan yang berkait dengan kementerian-kementerian ini,” katanya.