Pelajar pascasiswazah dibenar mulakan aktiviti akademik

Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini.
- Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini.
- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelajar pascasiswazah mod penyelidikan seperti pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dibenar untuk memulakan aktiviti akademik mereka dengan kadar segera.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat setelah Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluluskan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pengendalian aktiviti akademik di kampus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) semasa dan pasca PKP.

“Kebenaran ini melibatkan 31,503 pelajar di 462 IPT yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa sekolah swasta mahupun antarabangsa masih lagi tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pendidikan peringkat sekolah termasuk di dalam senarai yang dilarang termasuklah di semua peringkat sama ada sekolah kebangsaan kerajaan, sekolah menengah kerajaan, sekolah-sekolah swasta rendah atau menengah.

“Larangan ini juga termasuk kepada sekolah-sekolah antarabangsa, jika mereka beroperasi di Malaysia dan mereka tetap perlu patuh kepada undang-undang negara kita.

“Maka tidak ada sekolah pun yang dibenarkan dibuka sehingga dibenarkan, jika ada terdapat laporan, Kementerian Pendidikan akan menyiasat dan jika benar mereka buka sekolah-sekolah tersebut, maka kita akan arahkan ia ditutup,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut meminta agar pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menutup mana-mana kelab malam dan pusat hiburan yang didakwa telah beroperasi.

Artikel Berkaitan:

“Kelab malam, bar semuanya di bawah kategori pusat hiburan dan pusat hiburan termasuk dalam senarai yang terlarang ataupun 'negative list', jadi tak boleh dibuka.

"Kalau ada yang dibuka, insya-ALLAH kita akan maklumkan kepada PBT dan juga DBKL untuk mengambil tindakan dan tidak ada kompromi di situ kerana masih termasuk di dalam senarai terlarang,” katanya.