1,248 kenderaan ingkar arahan rentas negeri

Ismail Sabri.- Foto Bernama
Ismail Sabri.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 1,248 kenderaan telah diarah berpatah balik setelah didapati ingkar arahan rentas negeri berbanding 508 kenderaan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua kenderaan ingkar itu dikesan melalui 147 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri (inter-state) di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan pemeriksaan ke atas 218,027 kenderaan.

“Ia menunjukkan peningkatan lebih sekali ganda rakyat yang cuba-cuba curi merentasi negeri untuk pulang ke kampung dengan berbagai-bagai alasan.

“Jadi saya dah sebut semalam tak perlulah cuba untuk balik ke kampung setelah bersiap sedia selepas sahur nak balik kampung dan membawa anak-anak akhirnya terpaksa berpatah balik.

“Alhamdulillah pihak polis masih lagi arahkan berpatah balik.

"Katakan tiba-tiba pihak polis mengenakan kompaun RM1,000, jadi yang ruginya adalah kita sendiri,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - 500 kenderaan cuba rentas negeri diarah patah balik

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, mereka yang terlepas daripada sekatan jalan raya dan berjaya pulang ke kampung diingatkan bahawa tiada jaminan mereka juga akan terlepas ketika pulang nanti.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan turut memaklumkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semalam PDRM telah menahan 132 individu atas kesalahan melanggar SOP dan kesemua mereka telah direman.

“Justeru, semua pihak diingatkan supaya mengikuti SOP dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Kerjasama dan kawalan kendiri daripada semua rakyat amat penting dalam memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya.