X

Kindly register in order to view this article
!

Remaja perempuan buang bayi direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A

GEORGETOWN - Remaja perempuan yang sebelum ini dilaporkan mencampak bayi perempuannya yang baru dilahirkan dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini direman tujuh hari sehingga Selasa depan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, remaja berusia 18 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan sejurus dibenarkan keluar dari wad pada Jumaat lalu.

Menurutnya, teman lelaki suspek yang berusia 18 tahun turut direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Bayi perempuan yang sebelum ini ditemui dalam keadaan berdarah dalam beg dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian otak selain tempurung kepalanya retak disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

"Bagaimanapun pemeriksaan doktor mendapati kecederaan di bahagian otak tidak serius dan bayi berkenaan tidak perlu menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mengenai tindakan seorang remaja berusia 18 tahun tergamak mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru di sini Rabu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tergamaknya campak bayi sendiri dari tingkat empat!

Bayi malang cedera di bahagian otak, tempurung kepala retak

Dalam kejadian jam 7 pagi, remaja perempuan itu dikatakan melahirkan bayi di dalam tandas rumahnya tanpa pengetahuan ahli keluarga dan disebabkan panik dia mengambil keputusan mencampak bayi berkenaan melalui balkoni.

Kejadian itu disedari salah seorang penduduk di perumahan itu yang terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh di atas atap rumahnya.

Dia yang curiga dengan bunyi dentuman itu membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah sebelum menemui beg yang mengandungi bayi di bahagian belakang flat terbabit.

Pemeriksaan lanjut menemui bayi perempuan dalam keadaan berdarah namun masih bernyawa.

Akibat kejadian itu, hati bayi berkenaan turut dilaporkan cedera selain terdapat kesan luka pada bahagian kepala.

Anbalagan berkata, bayi itu kini masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang untuk rawatan susulan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!