Tiga sebab ICERD tidak sesuai di Malaysia

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memutuskan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak perlu dan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Menurutnya, kemudaratan pelaksanaan ICERD dikhuatiri lebih besar daripada kebaikannya.

“Meratifikasi ICERD secara sewenang-wenang akan dilihat mendahului kuasa dan kedudukan Majlis Raja-Raja kerana sebarang perkara yang menyentuh kedudukan istimewa Melayu dan anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak.

“Membuka ruang kepada mana-mana pihak mencabar keabsahan (kesahan) Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan ICERD pada masa akan datang serta membuka ruang kepada mana-mana pihak mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang memperuntukkan keistimewaan terhadap agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]

Dalam pada itu, beliau berkata Perlembagaan sudah menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira agama dan bangsa sekaligus tidak timbul soal menzalimi serta mencabul hak asasi manusia di negara ini.

“Bukanlah kami bermaksud Islam itu tidak komited terhadap segala bentuk pengesahan konvensyen antarabangsa terutama berkaitan hak asasi manusia.

“Namun dalam konteks Malaysia, sebarang ratifikasi yang menyentuh isu bangsa dan agama sewajarnya memerlukan jawatankuasa yang inklusif pada peringkat pusat serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan hujah yang menyatakan bahawa Malaysia wajar meratifikasi ICERD kerana negara-negara Islam lain turut meratifikasinya adalah tidak sesuai untuk diterima.
Artikel Berkaitan:


“Ini kerana sejarah, adat dan uruf setempat yang berbeza. Apatah lagi mereka yang meratifikasinya tidak semestinya memahami segala perkara yang diperuntukkan di bawah konvensyen tersebut seperti Israel.

“Namun kami menghormati keputusan negara-negara Islam seperti Palestin dan Arab Saudi yang menandatangani konvensyen itu,” katanya.