Bulan puasa pun judi laga ayam!

Mereka yang dicekup ketika sedang asyik berjudi laga ayam dalam sebuah bangsal kayu di Kampung Sungai Petai. Gambar kecil: Mohd Azmir Damiri
Mereka yang dicekup ketika sedang asyik berjudi laga ayam dalam sebuah bangsal kayu di Kampung Sungai Petai. Gambar kecil: Mohd Azmir Damiri
A
A
A

PASIR PUTEH - Kemuliaan minggu terakhir bulan Ramadan yang penuh berkat dicemari oleh tindakan kurang sopan 14 lelaki termasuk seorang graduan diploma apabila dicekup ketika sedang asyik berjudi laga ayam dalam sebuah bangsal kayu di Kampung Sungai Petai di sini semalam.

Dalam operasi jam 5.30 petang itu, kumpulan lelaki berusia antara 25 hingga 57 tahun cuba meloloskan diri, namun berjaya dicekup semula oleh anggota polis meskipun berlaku sedikit pergelutan.

Bukan sahaja terlibat dalam judi laga ayam, kesemua lelaki itu turut melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang orang ramai berkumpul secara beramai-ramai dalam satu tempat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas lapan ekor ayam dan pelbagai nilai mata wang secara tunai yang dianggarkan berjumlah RM3,435.

“Selain itu, kita turut merampas empat sarung taji ayam, sebuah jam penggera, sebilah pisau kecil berukuran 10 sentimeter termasuk hulu dan satu gelung paip getah berwarna hitam.

“Bukan itu sahaja, dua bidang karpet, 13 batang besi dan satu gelung span yang dijadikan sebagai dinding gelanggang (sabun ayam) turut dirampas,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal kesemua suspek mengaku bermain judi sabung ayam membabitkan nilai taruhan berjumlah RM500 hingga RM2,000.

Katanya, suspek turut mengaku mereka bermain judi sabung ayam sejak sebulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bukan itu sahaja, mereka turut mengaku melanggar PKPB dengan berkumpul secara beramai-ramai dalam satu kelompok," katanya.

Mohd Azmir berkata, empat daripada 14 suspek yang dicekup ini positif dadah jenis methamphetamine

Katanya, salah seorang dari empat suspek positif dadah itu mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek di reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.