Hentian R&R Pos Betau tagih bekalan air

Zolkefly menunjukkan pam air yang dibeli dan dipasang sendiri untuk menyedut air sungai berhampiran. Foto: SINAR HARIAN oleh SHARIFUDIN ABDUl RAHIM
A
A

LIPIS - Seorang peniaga sanggup melaburkan RM2,000 bertujuan membeli pam air untuk kegunaan sendiri di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pos Betau sejak dua tahun lalu.

Usaha itu terpaksa dilakukan oleh Zolkefly Sulaiman, 54, yang berniaga kedai makan di hentian terbabit selepas berdepan masalah mempunyai bekalan air.

Situasi itu menyebabkan kehadiran pengunjung semakin menurun dan lebih mengharapkan penduduk tempatan khususnya masyarakat Orang Asli yang tinggal di penempatan tersebut.

Zolkefly memberitahu, dia telah memasang dua pam air sebelum ini namun kedua-duanya tidak beroperasi.

"Satu terbakar, satu lagi air tak naik. Pam ketiga baru menjadi. Pam ini menyedut dari air sungai berhampiran.Hanya pam ketiga boleh digunakan. Sebelum ini saya terpaksa mengupah penduduk Orang Asli untuk mengambil air dari sungai berhampiran.

Zolkefly menunjukkan air yang disedut dan dikumpulkan untuk kegunaan di hentian terbabit
Zolkefly menunjukkan air yang disedut dan dikumpulkan untuk kegunaan di hentian terbabit

"Dan untuk bekalan air bersih, saya bawa sendiri hingga 40 liter air dari rumah untuk kegunaan di kedai ini, " katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, situasi itu menimbulkan kesulitan kepada peniaga sepertinya selain pengunjung yang singgah ke hentian terbabit.

"Sudah beberapa kali aduan dibuat kepada pihak-pihak berkaitan tetapi masih belum ada perubahan.

"Buat masa ini memang terpaksalah sedut air sungai supaya pengunjung boleh gunakan air terutamanya untuk kegunaan di tandas dan surau," katanya lagi.

Ujarnya, dia berniaga di hentian tersebut setiap hari kecuali Jumaat bermula jam 7 pagi hingga 5 petang.

"Sekarang hanya tinggal saya dan sebuah kedai runcit yang beroperasi di hentian ini," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Jali Yoknit, 50, mendakwa pada mulanya ketika dia mula beroperasi di hentian itu, masih ada lagi bekalan air.

Jali Yoknit
Jali Yoknit

"Hanya selepas setahun kemudian bekalan air tiada dan malu bila orang luar datang terpaksa jelaskan kepada mereka," dakwanya lagi.

Sementara bagi pengunjung, Zulkifli Seman, 45, dia menyedari masalah tersebut memandangkan antara pengguna tetap di laluan tersebut.

"Pada orang yang dah biasa seperti saya sudah pasti faham dengan situasi ini tetapi kesian pada orang luar.

"Rugi sebab jika masalah bekalan air ini dapat diatasi lebih ramai pengunjung singgah ke sini," katanya lagi.

Terdapat empat buah kioks, tiga lot kedai, surau dan tandas awam disediakan buat kegunaan di hentian itu yang mula dibuka pada 2013.

Hentian tersebut satu-satunya persinggahan buat orang ramai yang menuju ke Cameron Highlands.