Tiga lelaki berlegar-legar dicekup orang kampung

Polis menahan tiga lelaki susulan tangkapan orang awam selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah kereta di Kampung Kanchong Darat, Banting, awal pagi kelmarin. - Foto Facebook
Polis menahan tiga lelaki susulan tangkapan orang awam selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah kereta di Kampung Kanchong Darat, Banting, awal pagi kelmarin. - Foto Facebook
A
A
A

BANTING - Tiga lelaki yang berlegar-legar menaiki sebuah kereta di sekitar Kanchong Darat, di sini, dalam keadaan mencurigakan ditahan penduduk kampung berkenaan, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, tangkapan tiga lelaki berusia lingkungan 37 hingga 40 tahun termasuk seorang warga Indonesia itu dilakukan kira-kira jam 3 pagi sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan mendapati salah seorang suspek warga tempatan memiliki rekod lampau bersabit kes dadah, manakala suspek warga Indonesia gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

"Soal siasat awal suspek mendakwa kehadiran mereka di kawasan berkenaan adalah untuk mencari rakan, bagaimanapun siasatan masih dijalankan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih atas bantuan orang awam yang bersama membantu dalam usaha menangani jenayah.

"Selain itu, polis juga mengingatkan orang awam agar tidak bertindak di luar daripada perundangan seperti memukul dan mencederakan suspek yang ditangkap.

"Ini satu kesalahan jenayah dan ia juga berisiko daripada segi keselamatan diri jika suspek yang ditangkap mempunyai senjata dan sebagainya. Sebaiknya serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kejadian terbabit telah tular di media sosial dengan mendakwa suspek dikatakan melakukan rompakan di kampung berkenaan.