Belalang 'takluk' Iran

Belalang juta memusnahkan hasil tanaman yang bernilai lebih AS$7 bilion (lebih RM30 bilion).
Belalang juta memusnahkan hasil tanaman yang bernilai lebih AS$7 bilion (lebih RM30 bilion).
A
A
A

DUBAI - Iran terpaksa menggunakan kuasa tentera untuk tahun kedua berturut-turut dalam usaha menghapuskan ancaman belalang juta yang kini menakluki bahagian selatan negara itu.

Lapor IFP News, Kementerian Pertanian negara itu memberitahu, kehadiran serangga dalam jumlah luar biasa itu memusnahkan hasil tanaman yang bernilai lebih AS$7 bilion (lebih RM30 bilion).

Ancaman belalang juta itu yang paling dahsyat dalam tempoh berdekad-dekad memberi bebanan kepada negara itu, yang sudahpun dalam dilema bagi menangani isu penularan wabak koronavirus selain nilai eksport minyaknya yang menjunam teruk sejak sekatan Amerika Syarikat.

Jurucakap kementerian bagi Pertubuhan Perlindungan Tanaman (PPO), Mohammad Reza Mir berkata, belalang juta yang berasal dari gurun itu menyerang lebih 200,000 hektar kebun dan ladang di 31 wilayah Iran.

Kawasan terjejas berkenaan, yang merentangi dari timur Iran di sempadan Pakistan hinggalah ke sempadan barat daya dengan Iraq, dijangka boleh meningkat sehingga sejuta hektar.

"Pihak tentera telah berjanji untuk membantu kami, termasuk membekalkan kenderaan lasak untuk digunakan di lokasi yang sukar dilalui.

“Tahun lalu, pihak tentera pernah membantu dari aspek tenaga dan kenderaan... itu sangat membantu,” ujarnya.

Tambahnya, operasi melawan belalang juta itu setakat ini mampu menghalang 'kerosakan', namun dia tidak memberikan penjelasan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Ketua PPO, Mohammad Reza Dargahi berkata, pada bulan lalu belalang juta mampu menjejaskan penghasilan produk agrikultur bernilai AS$7.4 bilion (RM32.2 bilion), di enam wilayah di selatan Iran, lapor Financial Tribune.

Sementara itu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kerugian bidang pertanian akibat serangan belalang juta di Pakistan, boleh mencapai sehingga AS$2.2 bilion (RM9.6 bilion) untuk penghasilan sepanjang musim sejuk.