Tembakau rahsia umur panjang Pak Daud?

Daud menunjukkan kad pengenalannya mencatatkan dia dilahirkan pada 26 Disember 1924.
Daud menunjukkan kad pengenalannya mencatatkan dia dilahirkan pada 26 Disember 1924.
A
A
A

KUALA NERUS - “Kalau ikut umur sebenar, tahun ini umur pak cik sudah lebih 110 tahun,” kata Daud Seman walaupun kad pengenalannya mencatatkan warga emas itu dilahirkan pada 26 Disember 1924.

Bagi menguatkan dakwaannya, Daud berkata, ketika kejadian banjir besar atau bah merah melanda seluruh Terengganu pada 1926, umurnya sudah lebih 10 tahun malah kejadian itu masih segar diingatannya.

"Masa bah besar banjir merah itu pak cik besar dah. Umur pak cik masa itu sudah lebih 10 tahun. Pak cik memang ingat sebab kejadian itu memang tidak boleh pak cik lupa," katanya ketika ditemui, hari ini.

Kejadian bah merah pada 1926 itu mendapat namanya kerana air banjir berwarna merah berlaku seluruh negara dan dikatakan terburuk pernah berlaku dalam sejarah mahupun sejarah di Terengganu sendiri.

Daud berkata, keluarganya mendaftarkan kelahirannya dua tahun sebelum bencana itu berlaku dan ketika itu dia sudah berdikari dan melakukan kerja kerja kampung bagi membantu keluarga mencari rezeki.

Daud yang menjual tembakau di Pasar Batu Enam itu berkata, kini dia menjalani kehidupan sebagai bapa tunggal dan tidak mempunyai anak walaupun lebih daripada sekali berkahwin sebelum ini.

Menurutnya, walaupun tiada zuriat dia mempunyai seorang anak angkat yang dijaga sejak kecil yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai tujuh anak serta tinggal bersamanya di Pak Katak.

"Inilah kehidupan pak cik, Pasar Batu Enam juga sudah macam rumah pak cik. Bangun sahaja dari tidur pak cik akan terus ke pasar ini dan hanya akan pulang semula ke rumah pada waktu petang setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin pak cik peniaga tembakau paling tua di Terengganu dan mungkin juga di Malaysia. Pak cik dah lama buat kerja ni sejak zaman muda lagi dan masih lagi meneruskannya sehingga kini.

"Tiada apa apa rahsia dalam menjaga kesihatan, Pak cik pun macam orang lain juga. Makan tiada pantang malah pak cik merokok sejak muda tapi alhamdulillah tidak mengidap apa apa penyakit," katanya.

Jika dakwaan kelahirannya benar seperti dikata, Daud juga boleh diiktiraf sebagai antara manusia tertua di negeri ini malah keadaan kesihatannya sangat baik berbanding mereka yang seusianya.