Menyusun catur politik Muhyiddin

A
A
A

MASA depan dan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional akan sentiasa bergantung kepada kemampuan dan kebolehan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencatur dan menguruskan para pemimpin politik negara ini.

Kerajaan Muhyiddin dibina atas persepakatan ahli Parlimen yang berbeza ideologi, parti dan kumpulan serpihan.

Ada yang bersepakat kerana mahu mengaut laba politik. Ada yang bersepakat kerana percaya mereka sedang menyelamatkan negara. Ada pula kerana mempunyai musuh politik yang sama iaitu DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun kerapuhan itu bukan sahaja kerana perbezaan kelompok dan ideologi tetapi juga jumlah majoriti yang tipis.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dengan sokongan majoriti 114 ahli Parlimen, hanya lebih dua wakil rakyat daripada majoriti mudah 112.

Justeru, Muhyiddin boleh dijatuhkan pada bila-bila masa dengan perubahan sokongan tiga orang wakil rakyat. Malah jika berdasarkan khabar angin ada wakil rakyat yang menandatangani lebih daripada satu akuan bersumpah pada hujung Februari lalu, maka kedudukan kerajaan ini benar-benar dihujung tanduk.

Pandemik Covid-19 yang melanda negara ini dan seluruh dunia menyelamatkan Muhyiddin buat sementara waktu. Musibah itu menyebabkan fokus kerajaan dan rakyat tertumpu kepada menyelamatkan nyawa manusia dan ekonomi negara.

Ia juga telah menjustifikasi penangguhan dan penyingkatan sidang Dewan Rakyat. Penyingkatan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti juga bukan penyelesaian kepada kemelut politik, tetapi sekadar masa tambahan kepada Muhyiddin mencaturkan pertahanan beliau.

Artikel Berkaitan:

Covid-19 menjadi satu rahmat terselindung bagi membolehkan Muhyiddin memperkuatkan sekutu politik dan mengurangkan musuh.

Selain takdir ALLAH SWT, kestabilan kerajaan itu turut bergantung kepada kebijaksanaan dan keikhlasan Muhyiddin menyusun bidak-bidak di atas papan catur politiknya.

Kelebihan Muhyiddin ialah beliau mempunyai bargaining power bagi menarik sokongan ahli Parlimen dan memperkukuhkan kerajaan. Selain pelantikan Kabinet, jawatan di syarikat berkaitan kerajaan dan agensi utama juga akan digunakan bagi menstabilkan kerajaan itu.

Bagaimanapun, bukan semua orang terpengaruh dengan tawar-menawar politik ini. Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan misalnya, telah menolak lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Mohamad bukanlah ahli Parlimen, justeru penolakan itu tidak menjejaskan kedudukan Muhyiddin secara langsung. Namun ia turut memberi isyarat jelas bahawa jalan untuk Muhyiddin masih berliku.

Realiti

Usaha beberapa pencatur politik Muhyiddin untuk menubuhkan Perikatan Nasional secara rasmi telah menimbulkan ketidaksenangan Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO.

Selaku penyumbang sokongan terbesar kedudukan kerajaan ini, BN melihat sebarang usaha menubuhkan Perikatan Nasional adalah satu usaha untuk membubarkan BN dan mengecilkan peranan mereka.

UMNO selaku parti utama BN juga akan melihat usaha menubuhkan Perikatan Nasional secara rasmi akan membunuh parti tersebut secara perlahan-lahan bagi diganti dengan Bersatu. Ini tentulah tidak dapat diterima UMNO.

Sebarang usaha ke arah itu akan mencetuskan syak wasangka bahawa sokongan kepada Perdana Menteri bukan lagi untuk menstabilkan negara tapi menguntungkan kumpulan politik Muhyiddin.

Jika ini berlaku, kepimpinan UMNO akan didesak menarik diri daripada kerajaan. Penarikan diri UMNO daripada Perikatan Nasional akan memaksa satu pilihan raya umum baharu diadakan.

Sebahagian orang mungkin tidak bersetuju dengan pilihan raya baharu berikutan pandemik Covid-19. Namun kestabilan kerajaan juga penting bagi memulihkan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Pilihan raya bukanlah satu pilihan mudah, namun ia bergantung kepada cara Muhyiddin menyusun papan caturnya.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)