Utamakan hak kepentingan awam

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini rakyat Malaysia lebih peka kepada hak-hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Perkembangan itu baik kerana rakyat yang celik undang-undang merupakan aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak katik oleh orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Bagaimanapun, hak-hak tersebut perlu difahami berdasarkan peruntukan undang-undang bukan melalui naluri dan kehendak kita sahaja.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kita boleh simpulkan terdapat kategori berbeza mengenai hak yang dijelaskan dalam undang-undang tertinggi tersebut iaitu:

1. Hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka ialah warganegara Malaysia ataupun tidak. Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang yang berada dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 13 (hak terhadap harta).

2. Hak yang hanya diberikan kepada warganegara sahaja seperti hak bersuara dan berhimpun seperti dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran dalam Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan.

3. Hak yang dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150(6A) menegaskan terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat. Hak-hak tersebut adalah berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan dengan bahasa.

4. Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7 iaitu hak untuk mendapat ganti rugi sekiranya tanah diambil dan Perkara 13 iaitu hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain hak-hak yang termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung ataupun diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara sahaja.

Artikel Berkaitan:

5. Hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya. Oleh itu walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan namun ia bukanlah bersifat tidak terbatas. Ia boleh dihadkan atas sebab-sebab tertentu yang digariskan Perlembagaan itu sendiri.

Berdasarkan perkara di atas, di Malaysia tiada hak yang total diberikan sama ada kepada warganegara ataupun bukan warganegara. Hak-hak yang dinikmati tertakluk kepada sekatan yang dibuat menurut undang-undang.

Oleh yang demikian adalah tidak munasabah bagi sesetengah golongan yang menuntut hak secara total, mementingkan diri sendiri berbanding dengan kepentingan awam. Sekatan yang dibuat menurut undang-undang adalah berkepentingan awam bagi menjaga kemaslahatan umum.

Berbeza dengan yang selalu dilaungkan pendukung hak asasi manusia yang meletakkan kepentingan dan kebebasan individu mengatasi kepentingan awam, undang-undang tidak dapat mengesahkan kedudukan tersebut. Malah keputusan penghakiman mahkamah di Malaysia juga tidak memutuskan hak total seperti itu.

Hak dan kebebasan secara total hanya akan lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ini adalah disebabkan jika kebebasan peribadi diutamakan ia pasti akan mendatangkan ketidakpuasan hati pihak lain yang juga mempunyai hak yang sama.

Itulah sebabnya undang-undang tidak menganugerahkan hak dan kebebasan mutlak kepada warganegara dan bukan warganegara. Ia semata-mata bertujuan untuk menjaga keharmonian dalam negara.

Mudah-mudahan apabila hak-hak itu difahami, ketenteraman awam akan dapat dipelihara. Ia juga sejajar dengan prinsip mengutamakan kepentingan awam berbanding dengan kepentingan individu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia