Mohamed Mansor AR bukan penjawat awam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan bahawa seorang pengguna Facebook menerusi akaun Mohamed Mansor AR berkhidmat sebagai penjawat awam (PTD).

Dalam satu kenyataan, JPA memaklumkan bahawa menerusi semakan oleh pihaknya di Human Resource Management Information System (HRMIS) mendapati nama tersebut tidak terpapar dalam sistem sebagai anggota perkhidmatan awam seperti yang didakwa oleh penulis.

“Pihak JPA amat kesal dengan tindakan pihak terbabit. Sehubungan itu, JPA menyarankan supaya pemilik akaun tersebut dapat memberikan pembuktian beliau adalah penjawat awam atau menarik semula kenyataan menyatakan beliau adalah penjawat awam serta membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam.

“Sekiranya tiada tindakan susulan, pihak kami akan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. Tindakan ini diambil atas sebab beliau telah menyamar sebagai penjawat awam, memberi persepsi yang tidak baik serta mencemarkan imej dan reputasi institusi perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

JPA turut mengingatkan agar semua pihak tidak mengaitkan institusi perkhidmatan awam dengan kenyataan yang boleh mengelirukan serta memberi persepsi negatif kepada penjawat awam secara keseluruhannya.

Menurut kenyataan itu, penjawat awam sentiasa melaksanakan tugas dengan prinsip yang bersifat apolitical, profesional dan neutral selari dengan mantranya iaitu Berkhidmat Untuk Negara.- Bernama

Artikel Berkaitan: