X

Kindly register in order to view this article
!

'Baju raya habis terbakar'

Mohamad Nordin menyerahkan sumbangan mewakili IPD Ipoh kepada Zulhamali.
A
A

IPOH - "Jangan kata baju raya, baju biasa pun tak ada yang tinggal, baju kerja saya dan uniform hospital isteri juga habis terbakar," kata Ketua Polis Balai Kampung Rapat, Inspektor Zulhamali Zakaria susulan kebakaran rumahnya di Taman Sri Rapat di sini semalam.

Zulhamali berkata, kebakaran yang berlaku dua kali dalam tempoh selang beberapa jam itu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, insiden itu lebih meninggalkan kesan kepada empat anaknya berusia lingkungan 16 hingga 4 tahun, apatah lagi baju raya sudah disiapkan sejak seminggu lalu.

"Ahad baru-baru ini saya sudah membeli semua pakaian raya isteri dan anak-anak, kuih juga sudah disiapkan. Habis semua tak ada apa yang tinggal, baju yang kami pakai ni pun tak berganti lagi.

"Pada mulanya sedih juga mengenang kejadian ini, tetapi kita terima, reda dan bersabar, semua yang berlaku tidak dijangka," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, kebakaran itu berlaku jam 8.20 malam pada Khamis dan sekali lagi pada jam 5 pagi semalam menyebabkan keseluruhan bahagian atas rumah musnah.

Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian mengakibatkan kerugian hampir RM100,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Ketua Polis Balai terbakar dua kali

Zulhamali berkata, rumah berkenaan baru sahaja diduduki enam bulan selepas membelinya setahun lalu.

"Buat masa ini kami tinggal dulu di hotel berhampiran dan sedang berusaha untuk dapatkan rumah sewa.

"Bila semua selesai, insya-ALLAH saya akan kembali semula bertugas," katanya.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah yang menyampaikan sumbangan mewakili Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!