X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang perluaskan penanaman kelapa di Tumpat

Che Abdullah (kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada salah seorang penerima di sini hari ini.
A
A

TUMPAT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mencadangkan jajahan Tumpat dijadikan hub penanaman kelapa di negeri ini terutama di kawasan kepulauannya.

Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, setakat ini penanaman kelapa di Tumpat diusahakan secara projek berkelompok dan tanaman luar projek di seluas 317.04 hektar.

Menurutnya, bagi projek berkelompok yang dipantau oleh Jabatan Pertanian Kelantan melibatkan kawasan seluas 79.04 hektar manakala tanaman kelapa luar projek pula ialah 238 hektar.

“Saya melihat di kawasan pulau sudah banyak yang menanam kelapa cuma tidak menyeluruh dan boleh dipeluaskan. Tumpat sangat sesuai dengan tanaman ini.

“Potensinya sangat besar. Jika terlibat dalam sektor pemakanan dengan serius akan membawa kejayaan. Kerajaan juga banyak membantu mereka yang terlibat dengan industri penting untuk negara ini,” katanya kepada media hari ini.

Che Abdullah beramah mesra dengan penerima sumbangan yang diraikan hari ini.
Che Abdullah beramah mesra dengan penerima sumbangan yang diraikan hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri program Lawatan Usahawan Tani (Air Tuak) dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Tapak Projek Berkelompok di Kampung Kelong.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaburan, Mohd Adanan Hassan; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan; Wan Nora Wan Ahmad dan Pengarah Pertanian Negeri, Norbahani Zakaria.

Mengulas lanjut Che Abdullah juga memberitahu, Jabatan Pertanian Kelantan sudah membantu menanam 360 benih kelapa yang baharu di kawasan kepulauan di Tumpat.

Dalam pada itu, Che Abdullah juga memberitahu, hasil lawatannya hari ini mendapati seorang pengusaha nira kelapa, Mohd Asri Saffien terpaksa menghentikan pemprosesan Gula Melaka disebabkan permintaan nira yang luar biasa kali Ramadan kali ini.

“Saya difahamkan permintaan untuk nira tidak cukup meskipun musim Perintah Kawalan Pergerakan. Tidak boleh dijadikan manisan, ia dijual dalam bentuk air tuak.

“Kita boleh lihat potensi penanaman kelapa cukup besar. Kerajaan juga berharap golongan belia dapat menjadikan pertanian ini satu peluang perniagaan terbaik,” katanya.

Sementara itu, pada program sama Che Abdullah turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 10 penerima mewakili 100 penduduk Kampung Kelong.

Seorang penerima, Lijah Mamat,74, berterima kasih kepada kementerian yang memberikan sumbangan makanan dan duit raya yang dapat mengurangkan beban perbelanjaan keluarganya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus