Covid-19: Kes sembuh melepasi 80 peratus, 17 kes baharu

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah kes yang telah pulih sepenuhnya daripada wabak koronavirus (Covid-19) di Malaysia kini melepasi 80 peratus selepas 73 lagi kes sembuh direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan seramai 5,512 orang telah sembuh atau didiscaj daripada 6,872 jumlah kumulatif wabak itu di negara ini.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat terdapat 17 kes baharu yang telah dilaporkan.

"Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,872 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,247 kes," katanya pada pada sidang akhbar perkembangan semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata, daripada 17 kes baharu yang direkodkan itu, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"11 kes adalah penularan tempatan yang melibatkan lima kes bukan warganegara Malaysia," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat satu kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 113 orang.

"Kes kematian ke-113 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Beliau adalah merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah telah bercuti sakit disebabkan barah," katanya.