Program Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur beri keselesaan kepada rakyat

Annuar (kiri) sempat bertanya khabar orang kampung semasa menyampaikan sumbangan tersebut di Kok Lanas di sini.
Annuar (kiri) sempat bertanya khabar orang kampung semasa menyampaikan sumbangan tersebut di Kok Lanas di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Program Pembaharuan Bandar Kuala Lumpur akan dilaksanakan bermula tahun ini mengikut perancangan serta pelan pembangunan disediakan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, antara projek yang akan dilaksanakan adalah melibatkan pembangunan semula flat usang terutama Projek Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

“Kawasan-kawasan bangunan usang, tempat tinggal seperti PPR akan dirobohkan dan pemilik-pemilik yang telah membeli unit-unit tersebut akan diberikan unit percuma, lebih selesa, dengan harga RM200,000.

“Program pertama akan diadakan di Sentul dan Bukit Kiara memandangkan beberapa lokasi di kawasan itu banyak terlibat dengan rumah PPR dan projek pembinaannya mengambil masa tiga tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir menyampaikan sumbangan kepada lebih 4,000 penduduk kampung golongan B40 di Kok Lanas, di sini.

Menurutnya, projek tersebut juga tidak banyak melibatkan peruntukan kerajaan dan penjanaan dana dilakukan melalui pihak swasta, tanpa perlu menunggu peruntukan daripada mana-mana bajet kerajaan.

Beliau berkata, pengumuman flat yang terlibat juga akan dimaklumkan lebih awal selepas plan alternatif diperoleh, sebagaimana di Sentul dan Bukit Kiara.

“Kita jangka di Sentul 1,000 unit dan Bukit Kiara pula membabitkan 200 hingga 300 unit yang akan dimulakan tidak lama lagi,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, pihaknya juga ambil maklum mengenai pemohon-pemohon pinjaman perumahan yang ditolak pihak bank disebabkan oleh kemampuan membayar bulanan yang tinggi.

“Berdasarkan statistik itu, saya tengok lebih 50,000 yang memohon yang mendaftar untuk memohon dan mereka tetap menyewa. Kalau sewa RM1,100 dan sebagainya, duit habis di situ sahaja.

“Jadi kami bercadang membina rumah untuk keperluan mereka ini dan kita galakkan mereka beli semasa umur bawah dari itu supaya mereka boleh disediakan dengan pembiayaan yang sesuai tidak melebihi RM1,000 dengan nilai rumah RM200,000,” katanya.